BERNAMA

KELUARGA kepada seorang guru, Abd Rauf Mohd Zulkarnain, yang dikhuatiri lemas ketika mandi Sungai Setiu, dekat Kampung Buluh, di sini masih berharap beliau ditemui dengan selamat.

Ibunya, Asmah Mat Dom, 53, berkata, beliau hanya sempat berbual dan makan bersama pada tengah hari semalam sebelum anaknya itu keluar rumah.

"Biasanya kalau beliau keluar, akan balik semula sebab itu kami sekeluarga tidak bertanya beliau hendak pergi ke mana. Tetapi tiba-tiba petang semalam ada seseorang datang ke rumah memberitahu, beliau kemungkinan lemas.

“Sebelum ini Abd Rauf memang ada main air dan mandi di sungai itu kalau dia balik kampung tetapi tidak sangka perkara macam ini berlaku,” katanya ketika di temui Bernama di Setiu.

Selain itu, Asmah berharap orang ramai dapat menghentikan penyebaran video yang mengaitkan Abd Rauf yang berenang di sungai itu demi menjaga sensitiviti keluarga.

Abd Rauf adalah anak ketiga daripada tujuh beradik dan merupakan guru di Sekolah Rendah Tiara Permai, Sentul dan beliau pulang ke kampung ekoran cuti persekolahan.

“Apa yang penting sekarang ini saya amat berharap Rauf ditemui secepat mungkin dan saya percaya pihak bomba dan agensi yang lain mampu menemui anak saya," katanya.

Sementara itu Komander Operasi, Penguasa Bomba (PgB), Mohd Firdaus Ahmad Roshdi berkata pencarian Abd Rauf oleh pasukan penyelamat hari ini diperluaskan sehingga ke pintu air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) iaitu kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa dikhuatiri lemas.

Katanya, ekoran keadaan sungai yang deras dan masalah sampah sarap serta ranting kayu, pihaknya terpaksa menggunakan teknik carian berfokus, iaitu menumpukan pencarian mangsa di kawasan tertentu seperti di lubuk-lubuk dan pintu air JPS.

"Berdasarkan situasi aliran sungai sekarang yang agak deras dan mempunyai kedalaman antara enam hingga tujuh kaki, ia menyebabkan pencarian mangsa tidak dapat dilakukan secara menyeluruh. Kita hanya memfokuskan kepada kawasan-kawasan yang tertentu sahaja,” katanya.

Menurut Firdaus, pihaknya turut menggunakan kaedah pencarian di permukaan air, rondaan bot di pesisir sungai dan juga selaman bagi mencari mangsa yang berkemungkinan tersangkut di mana-mana kawasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 10:31 PM