KEHILANGAN Amirul (kanan) yang menjadi viral  berjaya dipertemukan bersama  ibu bapanya.
KEHILANGAN Amirul (kanan) yang menjadi viral berjaya dipertemukan bersama ibu bapanya.
Oleh Farah Suhaidah Othman

Cameron Highlands: Keasyikan sepasang suami isteri bercuti di Cameron Highlands bersama anak-anak mereka bertukar menjadi detik mencemaskan apabila seorang daripadanya tertinggal ketika dalam perjalanan pulang ke Sungai Koyan, Lipis, Pahang, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.15 petang, kanak-kanak berusia enam tahun, Amirul Afiq Najmi Jamaluddin, ditemui sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi di Bharat Tea House, Jalan Besar, Tanah Rata-Ringlet, di sini.

Penemuan itu menjadi viral dan tersebar menerusi aplikasi WhatsApp bagi mengesan keluarga kanak-kanak terbabit sebelum Amirul dibawa ke Balai Polis Tanah Rata untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Deputi Superintendan Muhammed Rizal Kamarudin berkata, beliau mengarahkan anggotanya segera melakukan Ops Kesan bagi mengesan keluarga kanak-kanak terbabit.

Katanya, hasil hebahan kepada semua balai di Cameron Highlands dan operasi lalu lintas yang dijalankan berhubung kehilangan mangsa, keluarga kanak-kanak terbabit akhirnya dapat dikesan 35 minit kemudian.

“Bapa mangsa, Jamaluddin Baser diminta membuat pengecaman di Balai Polis Tanah Rata sebelum mengakui kanak-kanak terbabit anaknya.

“Jamaluddin memaklumkan dia dan isterinya tidak menyedari salah seorang anak mereka tidak berada dalam kenderaan ketika dalam perjalanan pulang ke Sungai Koyan selepas bercuti di sini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Muhammed Rizal berkata, pihaknya turut menasihatkan kedua ibu bapa kanak-kanak terbabit supaya mengutamakan keselamatan terutama ketika cuti sekolah dan cuti hari perayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2015 @ 5:08 AM