JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesan waris bayi yang ditemui di Lembah Jasar Tanah Rata. FOTO Ihsan JKM
JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesan waris bayi yang ditemui di Lembah Jasar Tanah Rata. FOTO Ihsan JKM
Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my


Cameron Highlands: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meminta bantuan orang ramai untuk mengesan waris seorang bayi perempuan berusia 15 hari yang menjadi mangsa pengabaian.

Pemangku Pegawai Kebajikan Masyarakat Cameron Highlands, Ismail Che Mat@Mohamad berkata, bayi berkenaan itu dijumpai pada 22 Oktober lalu oleh seorang warga emas di pekarangan rumahnya di Lembah Jasar, Tanah Rata, di sini.

Menurutnya, ketika ditemui bayi berkenaan dalam keadaan selamat dan sihat dan polis merujuk bayi terbabit ke Hospital Cameron Highlands seterusnya ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan selanjutnya.

"Bayi perempuan berkenaan diselamatkan dan kini ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom, Kuantan mengikut Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

"JKM menerima kebenaran mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 oleh Majistret Mahkamah bagi Kanak-Kanak Cameron Highlands pada 5 November lalu untuk melakukan siaran media.

"Kami ingin mengesan waris kepada bayi ini bagi tujuan siasatan lanjut serta tindakan seterusnya yang perlu dilakukan mengikut undang-undang," katanya.

Beliau berkata, waris atau kenalan serta orang awam yang mengenali ibu kandung bayi terbabit boleh menghubungi Pegawai Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Cameron Highlands di talian 05-4911866.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 6:20 PM