EMPAT beranak maut manakala dua cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Sungai Koyan-Cameron Highlands berhampiran Pos Betau.
EMPAT beranak maut manakala dua cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Sungai Koyan-Cameron Highlands berhampiran Pos Betau.

Lipis: Kegembiraan lima beranak pulang bercuti dari Cameron Highlands bertukar tragedi apabila empat daripada mereka maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki bertembung dengan sebuah van di Kilometer 13 Jalan Sungai Koyan-Cameron Highlands berhampiran Pos Betau, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, pemandu Perodua Alza, Norulaini Ab Ghani, 43, suaminya, Raja Mohd Adnan Raja Husain, 45, serta dua anak mereka, Raja Nur A’iysah, 14, dan Raja Nur Anis Batrisya, 8, maut.

Dua mangsa yang parah ialah seorang lagi anak mereka, Raja Nur Alyaa Masturina, 13, dan pemandu van Toyota Hiace, Wendi Hasby, 26.

Ketua Polis Daerah Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, lima beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di FELDA Jengka 6, Maran selepas bercuti di Cameron Highlands.

Katanya, siasatan awal mendapati ketika menuruni jalan berbukit, MPV yang dipandu Norulaini tiba-tiba hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah van.

“Pertembungan itu menyebabkan empat mangsa maut akibat tersepit di tempat duduk masing-masing.

“Kita terpaksa meminta bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub untuk mengeluarkan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga untuk urusan pengebumian.

“Mangsa cedera turut dikejarkan ke hospital sama untuk menerima rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil, ” katanya.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2016 @ 8:23 AM