PEGAWAI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membawa keluar peti undi selepas tamat waktu pengundian bagi undi awal di Balai Polis Sungai Koyan, hari ini. Foto FARIZUL HAFIZ AWANG
PEGAWAI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membawa keluar peti undi selepas tamat waktu pengundian bagi undi awal di Balai Polis Sungai Koyan, hari ini. Foto FARIZUL HAFIZ AWANG
Mohd Nasaruddin Parzi


SEBANYAK 87 peratus daripada jumlah keseluruhan 247 pengundi awal melaksanakan tangungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands selepas pusat mengundi ditutup, jam 5 petang hari ini.

Berdasarkan peratusan dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ia bermakna, hanya 216 anggota dan pegawai polis menunaikan tanggungjawab itu.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Deputi Superintendan Ashari Abu Samah berkata, semua kertas undi awal itu akan ditempatkan di lokap Balai Polis Brinchang.

“Peti undi awal dari Balai Polis Sungai Koyan tiba di lokap Balai Polis Brinchang jam 4 petang, sementara di Balai Polis Brinchang, peti undi ditempatkan di lokap sebaik pusat mengundi ditutup jam 5 petang tadi,” katanya.

Ashari berkata, baki 31 anggota, pegawai dan pesara yang tidak menunaikan tanggungjawab itu disebabkan oleh beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan.

“Kita tidak dapat perincikan semuanya, namun ramai yang tidak hadir adalah mereka yang sudah bersara. Mereka mungkin di luar kawasan. Ada beberapa anggota juga kini uzur dan sakit,” katanya.

Secara keseluruhannya, katanya, proses undi awal berjalan lancar di dua pusat membuang undi, dengan kerjasama baik diberikan semua anggota dan pegawai yang terbabit.

Pusat mengundi awal membabitkan anggota, pegawai dan pesara polis dibuka jam 8 pagi di dua lokasi mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata dan DUN Jelai.

Seramai 232 orang mengundi di bilik maklumat, Balai Polis Brinchang bagi DUN Tanah Rata yang dibuka sehingga jam 5 petang ini.

Sementara itu, bagi DUN Jelai seramai 15 lagi pengundi awal mengundi di bilik maklumat, Balai Polis Sungai Koyan sebelum pusat pengundian itu ditutup jam 2 petang.

Proses pengundian awal disaksikan oleh ejen calon bertanding selain pemerhati pilihan raya daripada wakil organisasi serta badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR.

SPR juga membuat lintas langsung menerusi Facebook Live sepanjang perjalanan undi awal itu.

Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 7:22 PM