MOHD Yusof (kanan) melihat sebahagian kenderaan mewah dilaporkan hilang di Thailand yang dikembalikan.
MOHD Yusof (kanan) melihat sebahagian kenderaan mewah dilaporkan hilang di Thailand yang dikembalikan.
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Bukit Kayu Hitam: Sebanyak 34 kenderaan mewah bernilai RM4 juta yang dilaporkan hilang sebelum ditemui semula di negara jiran diserahkan semula kepada pihak berkuasa negara jiran oleh Polis Diraja Thailand (RTP) untuk tindakan lanjut, semalam.

Difahamkan, semua kenderaan itu dilaporkan hilang antara 2008 hingga 2012 lalu dan dipercayai ditukar nombor pendaftaran untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Pakar perunding Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia Berhad (Vehicle Theft Reduction Council of Malaysia Berhad) Mohd Yusof Idris berkata, pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan polis Thailand mengesan kenderaan terbabit berdasarkan siasatan terhadap nombor casis kenderaan terbabit.

Menurutnya, antara kenderaan yang diperoleh semula termasuk Toyota Vellfire dan Alphard, Mercedes Benz, BMW, Nissan GTR, Audi, Honda serta Lamborghini yang mendapat permintaan di negara jiran terbabit.

“Semua kenderaan terbabit dilaporkan hilang di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan yang menjadi tumpuan sindiket mencuri kenderaan mewah.

“Polis Thailand menyerahkan kenderaan ini kepada PDRM pada 24 November lalu di Bangkok sebelum urusan membawa pulang kenderaan ini dilakukan hari ini (semalam).

“Kebanyakan kenderaan itu masih dalam keadaan baik dan hanya ditukar nombor pendaftaran,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Bukit Kayu Hitam, di sini, semalam.

Urusan membawa pulang kenderaan itu melalui pekan Dannok, Thailand ke negara ini disertai anggota Bahagian Risikan, Operasi dan Rekod (D4) Bukit Aman dan dibantu polis negara jiran.

Mohd Yusof berkata, pihaknya mengesan kenderaan lain yang dilaporkan hilang dan masih berada negara itu secara berperingkat.

Katanya, proses membawa pulang kenderaan mewah itu perlu mematuhi syarat dan prosedur ditetapkan berdasarkan laporan kehilangan kenderaan berkenaan.

“Semua kenderaan itu diserahkan kepada syarikat insuran berikutan semua pemilik kenderaan terbabit mendapat pampasan masing-masing selepas membuat tuntutan ekoran kehilangan kenderaan mereka.

“Setakat ini, kami serahkan kes ini kepada polis untuk menyelesaikannya berikutan kejayaan menemui kenderaan mewah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 9:33 AM