SYAFIQ menang emas kyorugi bawah 87kg. FOTO Sukan IPT
SYAFIQ menang emas kyorugi bawah 87kg. FOTO Sukan IPT
Syafiq Aznan

Malang: Atlet taekwondo negara, Muhammad Syafiq Zuber menamatkan penantian 16 tahun kontinjen negara dalam acara kyorugi di Sukan Universiti ASEAN (AUG) selepas meraih pingat emas acara lelaki kyorugi bawah 87 kilogram (kg) di AUG 2024.

Penuntut Politeknik Nilai itu menumpaskan atlet tuan rumah, Tubagus Maulana dengan keputusan 2-0 di Gedung Samantha Kridha Universitas Brawijaya (UB) untuk pingat emas kedua skuad taekwondo negara bagi kempen AUG 2024 di Surabaya-Malang.

Pingat emas Syafiq itu membolehkan skuad taekwondo negara mencapai sasaran dua pingat emas selepas mereka merangkul pingat pertama menerusi acara poomsae berpasukan wanita, semalam.

Syafiq ketika ditemui selepas perlawanan mengakui dia berdepan tekanan tinggi untuk menentang atlet tuan rumah yang mendapat sokongan padu daripada penyokong mereka di gelanggang terbabit.

"Memang ada tekanan juga kerana berdepan atlet tuan rumah tetapi saya gunakan pengalaman yang saya ada dan buat yang terbaik.

"Saya mengikut perancangan jurulatih dengan baik. Jadi saya gembira dan berbangga kerana bukan sahaja dapat membantu pasukan mencapai sasaran ditetapkan tetapi juga menamatkan penantian 16 tahun bagi pingat emas dalam acara kyorugi di AUG.

"Ini adalah rezeki untuk saya dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu saya terutamanya keluarga yang turut mendoakan dari jauh," katanya.

Dalam perkembangan sama, Syafiq juga mengakui dia tetap memberikan 100 peratus persembahan untuk berdepan Tubagus walaupun belum berada dalam keadaan yang terbaik untuk beraksi di AUG 2024.

"Sebenarnya, demam saya masih 'on-off' pada tiga hari lepas dan saya pun rasa macam demam untuk beraksi pada hari ini. Tetapi saya tak mahu terlalu fikir mengenai perkara itu supaya tidak mengganggu persembahan saya.

"Jadi saya dapat memberikan aksi 100 peratus pada perlawanan hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 6:01 PM