Puteri Zarith
Puteri Zarith
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Saya ingatkan semalam boleh selesai (bercerai) tapi tidak seperti yang diharapkan."

Demikian kata usahawan dan pempengaruh popular, Puteri Zarith yang mengaku sudah penat dan tertekan apabila kes perceraiannya dengan Dr Munzir Shkori berlarutan lebih setahun.

Puteri berkata, setiap kali menghadiri perbicaraan di mahkamah dia sentiasa berdoa agar masalah rumah tangganya selesai dengan cepat.

"Saya akui sudah penat dan mental saya agak terganggu setiap kali berada di mahkamah. Saya begitu berharap kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Sebenarnya saya sudah berjumpa dengan pakar psikiatri untuk mengenal pasti tahap kesihatan mental saya dan doktor memberitahu saya mengalami tekanan setiap kali ada masalah datang.

"Walau bagaimanapun saya anggap apa yang berlaku ini ada hikmah di sebaliknya. Saya sendiri pun tiada jawapan kenapa kes ini berlarutan begitu lama, jawapannya hanya ada di tangan suami," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Puteri, walaupun berdepan dugaan yang hebat, namun dia bersyukur kerana dikelilingi sahabat yang sentiasa mengambil berat terutama rakan baiknya yang juga pelakon jelita Nora Danish.

"Nora sentiasa memberikan kata-kata semangat dan minta saya fokus kepada kehidupan dan keluarga.

"Bayangkan saya yang terlebih dahulu berdepan masalah tapi dia juga berdepan ujian yang hebat. Saya sendiri pun tak tahu masalah yang dihadapi sehinggalah dia beritahu pada media baru-baru ini.

"Selain Nora, ramai juga rakan-rakan artis yang mendoakan dan sanggup buat solat hajat supaya kes ini berjalan dengan lancar. Walaupun saya cuba senyum setiap kali buat siaran langsung di media sosial, tapi hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya sekarang ini," katanya.

Terdahulu, Puteri mengesahkan sudah memfailkan perceraian terhadap suaminya, Dr Munzir Shkori pada Mei tahun lalu.

Puteri dan Dr Munzir berkahwin pada 1 Januari 2009 dan dikurniakan dua anak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 4:27 PM