ANGGOTA polis memeriksa pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kabel. FOTO Rosli Ilham
ANGGOTA polis memeriksa pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kabel. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Chukai: Polis memberkas seorang lelaki dipercayai terbabut dalam aktiviti mencuri kabel telekomunikasi selepas mengejar kenderaan dipandu suspek sejauh 120 kilometer (km).

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, lelaki berusia 20-an itu ditahan kira-kira 7 pagi di Felda Panching, Kuantan, Pahang.

Menurutnya, sebelum kejadian, sepasukan polis yang melakukan rondaan pencegahan jenayah di kawasan Kemasik terserempak dengan empat suspek yang dipercayai sedang melakukan kegiatan mencuri kabel kira-kira 5 pagi.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran polis, kesemua suspek yang menaiki kenderaan pacuan empat roda bertindak memecut kenderaan mereka.

"Anggota polis kemudiannya mengejar kenderaan suspek yang melarikan diri ke arah Bandar Chukai, Jalan Mak Lagam , Cheneh, Jabor hingga ke Felda Pancing Kuantan.

"Kita turut mendapat bantuan daripada unit peronda Ibu Pejabat Polis Kuantan dalam usaha mengejar suspek," katanya.

Hanyan berkata, suspek yang berasal dari Felda Panching itu bagaimanapun berjaya ditahan ketika bersembunyi di atas pokok.

"Tiga lagi rakan suspek dipercayai dan bersembunyi di sekitar kawasan itu dan usaha memburu ketiga-tiga suspek itu sedang giat dilakukan.

"Kita menemui pelbagai peralatan seperti pemotong besi, cangkul dan dan pelbagai alatan di dalam kenderaan suspek dipercayai untuk aktiviti jenayah," katanya.

Katanya, turut ditemui dadah dipercayai jenis syabu yang belum dipastikan berat dadah terbabit dipercayai untuk kegunaan suspek.

"Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti sama ada kesemua suspek ini turut terbabit kumpulan curi kabel dikenali 'Geng Kabel' yang dipercayai aktif dalam aktiviti jenayah itu di sekitar negeri Pantai Timur.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 4:34 PM