ANGGOTA penguat DBKL merobohkan struktur bangunan yang dibina tanpa kebenaran dalam premis rumah urut. FOTO DBKL
ANGGOTA penguat DBKL merobohkan struktur bangunan yang dibina tanpa kebenaran dalam premis rumah urut. FOTO DBKL
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Lima rumah pelacuran yang berselindung di sebalik pusat urut diserbu dalam Operasi Tindakan Khas Pusat Urut di sekitar Seputeh di sini, semalam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam hantaran di Facebook berkata, kesemua premis rumah urut terbabit didapati beroperasi secara haram.

"Hasil siasatan dan risikan yang dijalankan selama lima hari di sekitar kawasan itu mendapati lima premis menjalankan perniagaan pusat urut (pelacuran).

"Sebanyak 82 struktur dalaman (premis) dirobohkan dan kesemua premis berkenaan dikenakan tindakan tutup serta-merta," katanya hari ini.

DBKL berkata, lima kompaun dikeluarkan mengikut Seksyen 79(1) Akta Jalan, Parit, dan Bangunan 1974 kerana mendirikan struktur dalaman tambahan tanpa kebenaran.

Selain itu lima kompaun dikeluarkan mengikut Undang-undang Kecil (UUK) 3 (1), UUK Tred Perniagaan dan Perindustrian Kuala Lumpur 2016 kerana menjalankan perniagaan rumah urut tanpa lesen.

Katanya, operasi berterusan akan dilakukan dari masa ke semasa di lokasi tumpuan yang sudah dikenal pasti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 5:16 PM