SSTMI ada ramuan melangkah ke pusingan seterusnya.
SSTMI ada ramuan melangkah ke pusingan seterusnya.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) akan membariskan pemain terbaik pada pertemuan separuh akhir Super School Rugby (SSR) menentang High School Batu Pahat (HSBP) di Arena Universiti Malaya, esok.

Menurut jurulatih SSTMI Syahir Asyraf Rosli, walaupun barisan anak buahnya mengharungi minggu memenatkan dengan jadual perlawanan padat namun yakin mampu meraih keputusan positif pada pertemuan itu.

Beliau berkata, barisan anak buahnya mempunyai hanya tempoh dua hari rehat memandangkan perlu menyertai lima perlawanan lain termasuklah Kejohanan Ragbi Perdana Tujuh Sebelah Maktab Melayu Diraja Kuala Kangsar (MCKK) 2024.

"Barisan pemain sememangnya agak penat namun mereka mempunyai mentaliti yang baik untuk meraih keputusan positif apabila bertemu HSBP.

"Kami mempunyai hanya tempoh dua hari rehat berbanding lawan yang boleh melakukan persiapan rapi kerana tidak menyertai sebarang perlawanan atau kejohanan selama dua minggu.

"Apa yang penting adalah untuk memantapkan barisan pertahanan kerana mengetahui lawan mempunyai kepakaran dalam menyerang," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, Syahir berkata, walaupun kali pertama barisan pemain menyertai kejohanan 15 sebelah itu dalam tempoh empat tahun namun mengakui ia memberi pengalaman berharga kepada mereka pada masa akan datang.

"Kami yakin mampu melangkah ke pusingan seterusnya kerana barisan pemain menampilkan semangat juang tinggi dan mempunyai mentaliti kuat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 5:54 PM