MUHAMMAD berpeluang timba pengalaman di Jepun. FOTO Selangor FC
MUHAMMAD berpeluang timba pengalaman di Jepun. FOTO Selangor FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ubi muda Selangor FC, Muhammad Abu Khalil muncul pemain negara seterusnya mengetuk pintu kelab Jepun, FC Osaka selepas menjalani sesi percubaan pada 24 Jun lalu.

Menerusi kenyataan Selangor FC, Muhammad akan dipinjamkan kepada FC Osaka yang beraksi di saingan divisyen tiga (Liga J3).

Menurut pemain berusia 19 tahun itu, dia bersyukur diberi peluang melebarkan sayap ke Jepun dan akan menggunakan kesempatan ini sebaik mungkin.

"Alhamdulillah, siapa sangka rezeki saya untuk beraksi di luar negara. Pertama sekali, saya ingin berterima kasih kepada kelab Selangor FC kerana membenarkan saya berkelana di Jepun bersama kelab FC Osaka secara pinjaman.

"Saya lihat ini adalah peluang untuk mengembangkan lagi diri dalam karier bola sepak dengan sistem yang mereka bawa. Secara jujurnya, banyak saya dapat belajar daripada sesi percubaan tempoh hari," katanya yang juga pemain utama skuad bawah 23 (B-23) tahun negara di Piala Asia B-23 di Qatar, April lalu.

FC Osaka kini berada di tempat ketiga berkongsi mata bersama pasukan di tempat kedua dalam saingan Liga J3. Kelab yang ditubuhkan pada 1996 yang bertempat di Higashiosaka, Osaka ini menyatakan mereka menaruh harapan kepada kemampuan Muhammad terutamanya dalam bahagian serangan selepas dia menjaringkan beberapa gol semasa sesi percubaan.

Menurut FC Osaka, gerakan serangan Muhammad adalah yang terbaik dalam pasukan sepanjang dia bersama mereka. Selaras dengan misi mereka untuk menaikkan nama 'Osaka', mereka dengan berbesar hati menawarkan Muhammad kedudukan dalam skuad FC Osaka secara pinjaman.

Untuk rekod, beberapa pemain negara pernah beraksi di Jepun antaranya Wan Zack Haikal Wan Noor, Nazirul Naim Che Hashim dan Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak.

Selain tiga pemain itu, ketika ini penyerang muda sensasi negara Luqman Hakim Shamsudin turun beraksi di Jepun bersama YSCC Yokohama di Liga J3.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 5:16 PM