GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Buat tinjauan sebelum pecah masuk rumah mewah. Itu taktik sekumpulan penjenayah didalangi warga Amerika Latin yang memecah masuk rumah milik ahli perniagaan dan melarikan pelbagai barangan bernilai RM7 juta di Bukit Damansara, di sini pada 31 Mei lalu.

Kumpulan penjenayah yang dilengkapi alat 'jammer' kamera litar tertutup (CCTV) itu dikesan menyewa kenderaan untuk ke kediaman yang dikenal pasti, sebelum mengumpil pintu masuk rumah berkenaan.

Kegiatan mereka berjaya ditumpaskan selepas polis menahan tujuh individu pada 6,9 dan 14 Jun lalu di sekitar ibu negara dan Bangkok, Thailand.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 11.34 malam hari kejadian.

"Mangsa menyedari rumahnya dipecah masuk selepas mendapati bilik tidur utama dalam keadaan berselerak. Mangsa juga mendapati 30 jam tangan mewah pelbagai jenama, barang kemas dan wang tunai anggaran kira-kira RM7 juta hilang.

"Hasil siasatan ke atas CCTV milik jiran, polis berjaya mengesan kenderaan digunakan suspek iaitu kereta sewa jenis Perodua Myvi dengan nombor pendaftaran palsu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini, hari ini.

Rusdi berkata, polis berjaya menahan dua lelaki warga Amerika Latin berusia 20 dan 22 tahun pada 6 Jun lalu dan susulan penahanan mereka, empat lagi suspek berusia 30 hingga 40 tahun ditahan pada 9 Jun lalu.

"Termasuk dalam suspek ditahan adalah wanita tempatan dipercayai teman wanita salah seorang suspek.

"Hasil daripada tangkapan pertama dan kedua, polis menahan seorang lagi suspek warga tempatan di sekitar ibu kota dan seorang lagi suspek ditahan pihak Imigresen Thailand di Bangkok pada 14 Jun lalu," katanya.

Menurutnya, polis berjaya merampas barang kes dipercayai dicuri dari kediaman terbabit iaitu 29 jam tangan pelbagai jenama, 97 barang kemas dan wang tunai RM4,550 dengan anggaran keseluruhan rampasan sebanyak RM4 juta.

"Tiga daripada suspek masih dalam tahanan reman sehingga 30 Jun ini, manakala empat suspek dibebaskan dengan jaminan polis.

"Lima suspek akan dituduh esok mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 411 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 12:38 PM