Oleh Aizat Sharif


Padang Besar (Thailand): Selepas dilaporkan hilang selama tiga tahun dipercayai dicuri, sebuah kereta bernombor pendaftaran Malaysia akhirnya diserahkan semula polis Thailand kepada pihak berkuasa negara ini untuk tujuan siasatan.

Sumber polis berkata, kereta Honda CR-Z Hybrid berwarna putih milik seorang ahli perniagaan berusia 26 tahun dari Alor Setar itu dilaporkan hilang di tempat letak kereta Kompleks Kastam Bukit Kayu Hitam pada 6 September 2013 selepas pemiliknya pergi ke Thailand untuk urusan perniagaan.

“Mangsa ke negara jiran pada 5 September sebelum pulang semula ke sempadan pada keesokannya dan mendapati keretanya sudah tiada, dipercayai dicuri ketika mahu mengambilnya semula.

“Dalam kejadian itu, mangsa kehilangan dokumen peribadi seperti kad pengenalan, lesen memandu, kad pengeluaran wang tunai automatik (ATM) serta pas sempadan.

“Malah, dokumen peribadi milik rakannya berusia 26 tahun seperti kad pengenalan, lesen memandu serta pas sempadan juga turut hilang dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui ketika penyerahan semula dua kenderaan dipercayai dicuri oleh polis Thailand di Balai Polis Padang Besar, di sini, semalam.

Penyerahan kereta disaksikan Timbalan Pegawai Perhubungan Polis Malaysia (MPLO) Pejabat Konsulat Jeneral di Songkhla, Khalili Hashim dan Ketua Polis Daerah Padang Besar, Thailand Worrachat Rosjan.

Kereta itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah untuk proses dokumentasi.

Menurutnya, kereta berkenaan dikesan dalam sekatan jalan kerana tiada cukai jalan pada 2014 lalu dan pemilik barunya yang juga penduduk Padang Besar, Thailand turut ditahan untuk membantu siasatan.

Katanya, sepanjang tempoh itu juga kereta terbabit disita dan diletakkan di Balai Polis Padang Besar di Thailand.

Difahamkan, kereta itu dilarikan sindiket yang menyasarkan kenderaan berdasarkan permintaan semasa oleh pelanggan di sekitar Padang Besar (Thailand), Sadao dan juga Songkhla.

“Sepatutnya sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang dilaporkan hilang di Alor Setar diserahkan hari ini (semalam), namun disebabkan suspek yang mencuri MPV itu masih lagi mempunyai kes di mahkamah, ia diserahkan pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 6:42 AM