Nurul Amanina Suhaini


Iskandar Puteri: Polis menahan seorang lelaki tempatan yang mempunyai 32 rekod jenayah lampau selepas dipercayai melarikan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam serbuan di tepi jalan di PJU 8/5 Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 50 tahun yang memaklumkan Toyota Hilux milik syarikat dipercayai dicuri di tempat parkir di Medini Utara 3, Iskandar Puteri, pada 8.30 pagi semalam.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri yang dibantu anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menahan suspek berusia 41 tahun di tepi jalan di Petaling Jaya pada 11.15 malam.

"Ketika kenderaan mangsa itu ditemui, platnya sudah ditukar kepada nombor pendaftaran palsu. Hasil semakan nombor casis mendapati ia adalah kenderaan dilaporkan hilang itu.

"Polis turut merampas pelbagai peralatan antaranya tiga telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah alat penebuk (drill), pemutar skru, 'Allen Key', sebuah 'key programmer', 10 alat kawalan jauh kereta pelbagai jenama dan empat keping cukai jalan," katanya pada sidang media di IPD Iskandar Puteri, hari ini.

Dzulkhairi berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai 26 rekod jenayah lampau atas kesalahan jenayah dan enam rekod bagi kes dadah.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek terbabit dalam kes mencuri kenderaan khususnya kenderaan pacuan empat roda dan aktif melakukan jenayah itu sejak dua bulan lalu di Selangor dan Johor.

"Suspek menggunakan nombor kenderaan palsu pada kenderaan dicuri bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

"Polis masih menjalankan risikan sama ada suspek menjual kenderaan terbabit ke negara jiran atau meleraikannya untuk dijual ke kedai alat ganti.

"Polis akan terus menjalankan siasatan bagi mengesan seorang rakan jenayah suspek yang masih bebas dan suspek kini ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (curi kenderaan)," katanya.

DZULKHAIRI menunjukkan pikap yang ditemui semula dalam masa 15 jam selepas dilaporkan hilang. FOTO ZAIN AHMED
DZULKHAIRI menunjukkan pikap yang ditemui semula dalam masa 15 jam selepas dilaporkan hilang. FOTO ZAIN AHMED

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 6:03 PM