LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Tindakan tegas perlu diambil oleh pihak pengurusan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Perbendaharaan Negara bagi memastikan sebarang pembelian termasuk alat ganti untuk kegunaan pasukan keselamatan itu mestilah berhemah, tepat serta cekap.

Itu pandangan penganalisis keselamatan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Dr Mohd Mizan Mohd Aslam mengulas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendedahkan kira-kira RM384.5 juta nilai alat ganti yang diperoleh untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak digunakan dengan sebahagian daripadanya sudah tidak boleh digunakan lagi.

Beliau berkata, LKAN sudah menemui banyak kepincangan dalam tatakelola agensi kerajaan dan laporan itu secara tidak langsung membuka mata semua pihak bahawa ia sudah berlaku sekian lama.

"Apa yang pasti sebenarnya berlaku ketidakcekapan dalam pembelian terutama alat ganti.

"Pertama, saya boleh katakan pembelian alat ganti dilaporkan itu dibeli dalam kuantiti yang banyak dan tidak dilihat keperluan atau penggunaannya untuk memenuhi situasi semasa.

"Ia lebih kepada usaha untuk stock and barrel atau penyimpanan. Tetapi kalau dibeli dalam kuantiti sangat banyak ia akan merugikan pula," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohd Mizan berkata, perkara kedua berlaku kerugian apabila (pembelian) terlalu banyak dan tidak mampu untuk digunakan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Katanya, apabila sudah tarikh luput tidak elok digunakan, sekali gus membawa kepada kerosakan.

"RM384.5 juta adalah satu jumlah yang sangat besar, melebihi suku bilion, jadi sebab itu perkara ini tidak boleh dibiarkan atau dipandang enteng.

"Ia bukan sahaja merugikan duit pembayar cukai dan negara, malah saya juga melihat satu sudut lain iaitu mengenai keselamatan negara.

"Jika alat itu tidak lagi bagus dan selamat digunakan tetapi sudah dibeli atau terpaksa digunakan mungkin akan memberikan risiko terutama sekali nyawa pasukan keselamatan kita," katanya.

Semalam media melaporkan laporan LKAN dipetik sebagai berkata kira-kira RM384.5 juta nilai alat ganti yang diperoleh untuk TLDM tidak digunakan dengan sebahagian daripadanya sudah tidak boleh digunakan lagi.

Laporan LKAN itu mendedahkan, depoh Armada Barat TLDM menempatkan 1.62 juta alat ganti bernilai RM381.69 juta, manakala depoh Armada Timur menyimpan sebanyak 6,040 alat ganti bernilai RM2.8 juta.

Pertukaran peralatan di atas kapal TLDM menunjukkan sebahagian alat ganti tidak boleh digunakan lagi.

LKAN itu juga mendapati skrin panel (panel monitor) Automated Warehouse dan Retrieval System Eastern Armada rosak hingga menjejaskan penggunaan alat ganti.

Dalam maklum balas kepada teguran LKAN, Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata, pihaknya mengambil langkah dengan memperkenalkan inisiatif dan proses baharu untuk mengelakkan isu itu berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 5:20 PM