RAKAMAN  Norizan ‘ditarik’ mesin pencuci telur itik yang tular. FOTO ihsan Norizan Ahmed Jaaffar
RAKAMAN Norizan ‘ditarik’ mesin pencuci telur itik yang tular. FOTO ihsan Norizan Ahmed Jaaffar
Noor Hidayah Tanzizi


Sabak Bernam: "Pengalaman itu memang mencemaskan hingga trauma namun saya ambil pendekatan berkongsi video itu untuk beri kesedaran kepada orang lain untuk sentiasa peka ketika bekerja," kata penternak itik, Norizan Ahmed Jaaffar.

Ringkasan Berita
  • Norizan Ahmed Jaaffar, seorang penternak itik, mengalami kejadian mencemaskan ketika selendangnya ditarik mesin pencuci telur itik ketika penstriman langsung di TikTok
  • Suaminya, Saiful Ahmad Abdullah Sani, segera membantu mematikan mesin, mengelakkan kecederaan serius pada Norizan
  • Norizan mengalami kesakitan di leher dan belakang badan, serta lidah tergigit, tetapi tiada kecederaan serius
  • Wanita berusia 55 tahun itu mendapat perhatian di TikTok selepas perkongsian video memaparkan selendang dipakainya 'ditarik' mesin pencuci telur itik ketika sedang penstriman langsung di akaun sosial itu pada 26 Jun lalu.

    Video berkenaan meraih 25.3 juta tontonan dan lebih 30,000 komen netizen yang turut bersimpati dengan wanita itu dan ada juga segelintir netizen menganggap ia sebagai kejadian lucu serta mencemaskan yang tidak diduga.

    Norizan berkata, kejadian itu berlaku dalam masa kurang seminit serta bersyukur suami, Saiful Ahmad Abdullah Sani, 47, berada berhampiran mesin dan terus membantu.

    Menurutnya, kejadian berlaku ketika dia sedang melakukan penstriman langsung sambil melihat pekerja menguruskan telur itik di tempat pemprosesan telur itik di Parit 10, Pasir Panjang, di Sekinchan, di sini.

    "Selepas itu pekerja berehat dan mesin masih dihidupkan. Saya pula tak perasan selendang panjang sebelah sebelum tiba-tiba hujung selendang itu sudah ditarik ke dalam mesin. Kejadian berlaku sangat pantas dan kepala terkena mesin.

    "Ketika itu memang takut dan kebetulan suami ada dekat belakang terus matikan mesin itu. Kalau lambat saya tak tahu apa yang akan berlaku mungkin keadaan akan menjadi lebih teruk," katanya ketika dihubungi, di sini.

    Dia berkata, anak yang turut menyertai penstriman langsungnya turut cemas melihat kejadian itu sebelum menghubunginya.

    Norizan yang mempunyai 2,000 itik peliharaan turut mengakui leka namun sangat bersyukur tiada kecederaan serius padanya.

    "Leher saya sakit kerana terjerut tudung dan tergigit lidah. Seminggu juga sakit hingga nak makan susah selain belakang badan juga sakit. Kejadian itu seperti mati hidup semula," katanya.

    Berhubung perkongsiannya di TikTok, Norizan berkata, ia bukan untuk mencari perhatian atau simpati orang sebaliknya video itu dikongsikan sebagai kesedaran kepada orang lain supaya sentiasa berhati-hati dan lebih peka ketika bekerja.

    Katanya, dia juga mengakui tidak kisah jika ada netizen yang mentertawakan dia serta turut menghargai semua komen terutama mereka yang menasihatkannya selain perkongsian itu juga menunjukkan bukan mudah mencari rezeki.

    "Jangan leka dan lalai walau apa saja pekerjaan kita terutama apabila bekerja dengan mesin. Kejadian itu bukan saja menjadi pengajaran untuk saya, malah berharap untuk orang lain juga selepas ini," katanya.

    Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 5:20 PM