KENDERAAN curi yang berjaya ditemui semula.
KENDERAAN curi yang berjaya ditemui semula.
Oleh Nabihah Kamal

Kajang: Lima pencuri kenderaan profesional dikesan aktif melarikan pelbagai model kenderaan mewah sebelum dieksport ke luar negara menggunakan kontena.

Sindiket membabitkan lima lelaki tempatan itu bagaimanapun berjaya ditumpaskan polis selepas semua mereka diberkas di dua lokasi berasingan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, dua suspek ditahan ketika sedang memandu Perodua Myvi di Jalan Taming Jaya, Balakong di sini, jam 3.35 petang kelmarin.

Menurutnya, hasil pemeriksaan polis terhadap dua suspek berusia 36 tahun dan 41 tahun itu menemui tiga kunci automatik di dalam kenderaan itu.

“Susulan soal siasat, polis berjaya menemui tiga kenderaan mewah dicuri yang disembunyikan di sebuah rumah di Taman Impian Ihsan di sini.

“Pihak polis kemudian menahan tiga lagi suspek kerana dipercayai terbabit dengan kes itu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kajang di sini, semalam.

Katanya, tiga kenderaan curi yang berjaya dirampas itu membabitkan model Toyota Estima, Toyota Camry dan Lexus yang dilaporkan hilang di Kajang dan kawasan Kepong.

Menurutnya, suspek dipercayai terbabit dengan sindiket mencuri kenderaan untuk dieksport ke pasaran luar negara.

“Semua kenderaan bernilai lebih RM500,000 itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk tindakan lanjut.

“Kelima-lima suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379(a) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 11:03 AM