MD Noor Aehwan (tengah) melihat kenderaan mewah yang  dirampas. FOTO Samadi Ahmad
MD Noor Aehwan (tengah) melihat kenderaan mewah yang dirampas. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


AKTIF melakukan jenayah curi kenderaan mewah sebelum menjualnya di negara jiran untuk berjoli.

Itu kegiatan empat ahli sindiket curi kenderaan mewah ‘geng dragon’ yang berjaya diberkas polis susulan Operasi Lejang Mewah, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad berkata, kejayaan menumpaskan sindiket itu adalah hasil penahanan pertama seorang lelaki tempatan di kilometer 351, Lebuhraya Plus arah Utara, 7.20 pagi, 11 Januari lalu.

Menurutnya, suspek ketika itu didapati sedang memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard berwarna putih.

“Pemeriksaan polis kemudian menemui sijil pendaftaran dan cukai jalan palsu digunakan pada kenderaan itu.

“Susulan itu polis berjaya menahan dua lagi lelaki yang menaiki pacuan empat roda Toyota Hilux di Jalan Sultan Azlan Shah Utara, Ipoh, Perak pada 4.30 pagi, Ahad lalu,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, polis menemui lima telefon pintar, sejumlah wang tunai, pasport Malaysia, sijil pendaftaran kereta, insuran dan peralatan komputer.

“Bertindak atas maklumat diperoleh, polis berjaya menahan seorang pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard di Felda Chuping, Padang Besar, Perlis.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, pihak polis menemui pasport Malaysia, sijil kenderaan dan cukai jalan yang disyaki diubahsuai dan borang isytihar kenderaan palsu.

“Kenderaan Toyota Alphard pertama yang dirampas dilaporkan hilang di pusat beli belah IOI City Mall Putrajaya manakala kenderaan kedua dilaporkan hilang di Kota Damansara,” katanya.

Menurutnya, suspek menggunakan peralatan khas ‘jammer signal’ dan alat pengatur cara kunci pintar (smartkey program) untuk melarikan kenderaan.

“Ops Lejang Mewah ini hasil kerjasama IPD Sepang dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah D4 Bukit Aman. Semua kenderaan dirampas berjumlah melebihi RM 700,000.

“Kesemua suspek ditahan dan disiasat mengikut 379(A) Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 6:16 PM