Pemandu kenderaan yang patah kedua-dua belah kakinya.
Pemandu kenderaan yang patah kedua-dua belah kakinya.
KEADAAN kereta Perodua Myvi  yang merempuh kereta Toyota Alphard, pagi semalam.
KEADAAN kereta Perodua Myvi yang merempuh kereta Toyota Alphard, pagi semalam.
Oleh Nadzreen Shah Mat Salim

Rawang: Seorang lelaki berusia 23 tahun terpaksa menanggung azab kesakitan lebih 30 minit sebelum diberikan rawatan apabila kedua belah kakinya patah dalam kejadian di Batu 16 Taman Bersatu Rawang Perdana, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu, mangsa yang memandu kereta Perodua Myvi bersama adik perempuannya berusia 12 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Rawang ke Selayang.

Setiba di lokasi kejadian, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dipandu seorang lelaki berusia 50-an, dipercayai ingin membuat pusing ‘U’ dengan menaiki pembahagi jalan di hadapan lorong kereta mangsa.

Mangsa yang terkejut dengan kehadiran MPV itu dihadapannya gagal mengelak sebelum hilang kawalan lalu merempuh kenderaan itu.

Berikutan kejadian berkenaan, mangsa mengalami patah kedua kaki manakala adik perempuannya patah kaki kiri.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, kedua-dua mangsa tersepit di bahagian pemandu dan penumpang hadapan.

Menurutnya, bomba terpaksa menggunakan peralatan hidraulik untuk mengeluarkan kedua mangsa.

“Kedua kenderaan remuk teruk di bahagian hadapan tetapi pemandu Toyota Alphard terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Sebaik dikeluarkan, kedua-dua mangsa diberikan rawatan kecemasan pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian dan mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi, semalam

Katanya, mangsa kini dirawat di Hospital Selayang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2015 @ 5:40 AM