MPV yang merempuh premis memproses ayam. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
MPV yang merempuh premis memproses ayam. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Parit Buntar : Pekerja memproses ayam patah kaki kiri dirempuh MPV Toyota Avanza yang terbabas ke dalam premis terbabit di bandar ini pagi tadi.

Dalam kejadian 10.15 pagi, mangsa Rosli Omar, 48, patah kaki dan cedera tangan kiri apabila kenderaan berkenaan merempuh pintu hadapan dan melanggar mangsa.

Rakan mangsa, Mohd Yusof Kassim, 54, berkata, dia bersama dua rakan pekerja baru selesai melayani pelanggan membeli ayam di premis majikannya apabila kejadian itu berlaku.

"Sebaik MPV itu merempuh premis, saya dan seorang lagi pekerja berjaya mengelak daripada turut dirempuh.

"Bagaimanapun, Rosli (mangsa) tidak bernasib baik apabila dirempuh MPV terbabit," katanya.

Mohd Yusof berkata, mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk mendapatkan rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 6:13 PM