FOTO ihsan Bomba
FOTO ihsan Bomba
Oleh Fardy Bungga


Kuala Lumpur: Seorang lelaki parah manakala seorang lagi wanita cedera ringan selepas kenderaan yang dinaiki mereka dirempuh bas ekspress dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Sungai Besi menghala ke Seremban, sebentar tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, mangsa seorang lelaki berusia 20-an bersama beberapa ahli keluarganya menaiki kenderaan serbaguna (MPV) Toyota Estima sedang menuju ke arah Seremban.

Bagaimanapun, sebaik tiba dilokasi kejadian, sebuah bas ekspress yang sedang dalam perjalanan dari arah bertentangan menuju ke Kuala Lumpur tiba-tiba hilang kawalan dan melanggar sebuah lori dihadapannya.

Akibat daripada perlanggaran itu, bas terbabit kemudiannya terbabas dan memasuki jalan bertentangan sebelum merempuh kereta yang dinaiki mangsa.

Dua lagi kenderaan jenis BMW dan Perodua Kancil yang berada di lorong yang sama turut berlanggar dengan bas berkenaan tetapi pemandu dan penumpang kedua kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Serdang Najilan Che Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.33 petang dan mengerahkan dua jentera 12 anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa tersepit di bahagian penumpang hadapan keretanya manakala seorang lagi wanita yang duduk di bahagian belakang turut mengalami kecederaan ringan.

"Mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba sebelum diserahkan kepada pasukan paramedik yang tiba dilokasi kejadian untuk rawatan awal.

"Mangsa dihantar ke Hospital Serdang menggunakan ambulan untuk mendapatan rawatan lanjut,"katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Menurutnya, pemandu dan penumpang di dalam bas ekspress tidak mengalami sebarang kecederaan dan kemalangan menyebabkan kesesakan terus di jalan berkenaan.

Katanya, kenderaan yang terbabit berjaya dialihkan untuk melancarkan kesesakan dan operasi tamat pada jam 5.41 petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 7:28 PM