LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Faris Fuad

SEORANG lagi mangsa kemalangan membabitkan Proton Saga BLM dan Toyota Hilux di Jalan Besar Batu 30 Ulu Yam, Kuala Kubu Bharu, meninggal dunia hari ini.

Difahamkan, mangsa, penumpang Proton Saga BLM itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB).

Ia menjadikan tiga mangsa maut akibat kemalangan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, semua mangsa yang maut adalah pemandu dan penumpang Proton Saga BLM.

“Ada lima orang dalam Proton Saga itu, pemandu dan seorang penumpangnya disahkan maut di tempat kejadian.

“Terkini, seorang lagi disahkan maut di HKKB, manakala dua lagi yang cedera parah masih dirawat di Hospital Selayang.

“Pemandu Toyota Hilux itu, V Rajan, 46, patah tangan dan menerima rawatan di Hospital KPJ Rawang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berita berkaitan

Dua maut dalam nahas awal pagi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 12:26 PM