RAKAMAN kejadian yang mengakibatkan MPV mangsa dilarikan penjenayah. FOTO ihsan pembaca
RAKAMAN kejadian yang mengakibatkan MPV mangsa dilarikan penjenayah. FOTO ihsan pembaca
Izlaily Nurul Ain Hussein


SEKUMPULAN lelaki dirakam melarikan kenderaan pelbagai guna (MPV) milik sebuah keluarga di Jalan Keembong, Taman Johor Jaya, Johor Bahru, 20 November lalu.

Kejadian kira-kira 7.30 pagi itu berlaku apabila sebuah Toyota Alphard dinaiki penjenayah menghampiri kenderaan mangsa.

Menerusi video berdurasi 38 saat itu, mangsa dilihat menuju ke kenderaannya di hadapan rumah dan menghidupkan enjin sebelum ditolak tiga lelaki.

Seorang daripada penjenayah masuk semula ke Toyota Alphard mereka manakala dua lagi membawa lari kenderaan mangsa.

Insiden itu dimuat naik pengguna media sosial yang dipercayai ahli keluarga mangsa sebelum dikongsi dan ditularkan pengguna lain.

Ahli keluarga mangsa mendakwa suspek menggunakan pisau dalam kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan dibuat mangsa pada jam 8.33 pagi, hari kejadian.

Beliau berkata, tiga lelaki yang menaiki Toyota Alphard menyamun dan melarikan MPV milik mangsa.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata.

Katanya, usaha mengesan suspek masih giat dijalankan dan belum ada tangkapan setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 10:17 AM