Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Semua pihak perlu menghormati keputusan mewujudkan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam Edisi Kedua 2014 berikutan pelaksanaannya mengambil kira pelbagai aspek termasuk situasi dunia hiburan terkini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha berkata, isi kandungan dalam garis panduan baru itu dibentuk dengan lebih jelas dan agak terperinci bersesuaian dengan kehendak ajaran Islam.

“Garis panduan lama (Garis Panduan Hiburan Menurut Islam terbitan 2007) dibuat dalam bentuk umum dan bersesuaian dengan keadaan serta bentuk hiburan yang ada pada masa itu saja.

“Ia dikeluarkan berikutan isu baru yang berlaku dalam masyarakat dan terdapatnya komen daripada pelbagai pihak terhadap bentuk hiburan yang ada di negara ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Othman menasihatkan semua pihak yang terbabit dengan industri hiburan perlu sentiasa mematuhi garis panduan berkenaan.

“JAKIM menyeru semua pihak termasuk masyarakat awam dapat terus mengamalkan nilai dan etika yang baik dalam kehidupan seharian.

“Semoga garis panduan edisi kedua 2014 ini akan dapat membantu semua pihak terbabit dengan industri dan aktiviti hiburan di negara ini bagi memastikan ianya bertepatan dengan peraturan Syarak dan diberkati,” katanya.

Semalam akhbar tempatan melaporkan, pelaksanaan garis panduan itu memberikan pelbagai reaksi termasuk mendapat bantahan daripada Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN).

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez dipetik sebagai berkata, tindakan JAKIM itu menjejaskan industri hiburan dan perfileman tanah air serta menakutkan pelancong asing datang ke Malaysia.

Garis panduan baru itu dibentang dan diluluskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-107 pada 10 hingga 11 Februari lalu selepas melalui proses tertentu dan beberapa perbincangan.

Ia memberi penekanan beberapa aspek penting termasuk keperibadian dan penampilan artis, persembahan seni pentas, nyanyian dan tarian, lirik lagu, penggunaan peralatan muzik, unsur muzik yang dibenarkan, aspek yang perlu diambil kira dalam penganjuran program hiburan dan panduan dalam menyediakan klip video.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 10:46 AM