Idris (kanan)  bersalaman dengan penerbit filem,Datuk Yusof Haslam ketika  mengadakan pertemuan  dengan pemain industri hiburan di pejabatnya hari ini. FOTO Ihsan Jakim.
Idris (kanan) bersalaman dengan penerbit filem,Datuk Yusof Haslam ketika mengadakan pertemuan dengan pemain industri hiburan di pejabatnya hari ini. FOTO Ihsan Jakim.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Stesen televisyen dan produksi disaran mewujudkan Jabatan Pematuhan Syariah bagi menyemak, menapis, memantau semua skrip dan kandungan sebelum disiarkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, isu moral yang dibina untuk masyarakat Malaysia terutama membabitkan anak muda perlu dititik berat dalam dunia penyiaran.

Katanya, beliau menerima maklum balas dan pendapat daripada pemain industri menyatakan masih ramai yang berminat serta mahukan rancangan dan siaran yang mempunyai kandungan berunsur Islamik bertepatan dengan syariat agama.

"Karya-karya seni atau program yang cuba menormalisasikan budaya bercanggah dengan syariat Islam dan nilai akhlak serta budaya masyarakat negara ini perlu dielakkan sama sekali serta ditentang habis-habisan bermula daripada kita semua," katanya menerusi hantaran dalam Facebooknya selepas mengadakan pertemuan dengan pemain industri hiburan di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata, peluang bertemu pemain industri penyiaran adalah satu peringatan bersama bagi menjayakan agenda lebih baik dalam mendidik masyarakat terhadap isu-isu hiburan yang melampau serta melihat kepada keuntungan semata-mata.

Idris berkata, hiburan sememangnya satu fitrah, namun biarlah ia bertepatan dan berlandaskan agama serta syariat Islam.

Menurutnya, beliau mengambil peluang seluas-luasnya pada pertemuan itu terhadap beberapa kerisauannya dan masyarakat sepanjang sebulan dua ini berkenaan pelbagai aktiviti hiburan yang tidak menepati garisan Islam.

Katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa bekerjasama dengan semua pihak industri dan telah menerbitkan tiga garis panduan untuk rujukan semua pihak.

"Jakim juga sudah menubuhkan Pusat Penyelidikan Hadith bagi membuat kajian serta rujukan bagi mengelak masyarakat terjebak dengan penyebaran hadis palsu.

"Semoga pertemuan dan perbincangan ini dapat memberi nafas baru kepada dunia penyiaran negara terutama dalam penerapan nilai-nilai agama dan kandungan yang bertepatan dengan syariat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 9:17 PM