Rompin: Pendakwah dan penganjur program berselawat diminta mematuhi garis panduan yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan tiada unsur bertentangan syarak yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada umat Islam.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM Mohamad Nordin Ibrahim berkata, garis panduan ditetapkan itu adalah memastikan penganjuran program berselawat tidak dicemari perkara maksiat atau berlebihan sehingga bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Katanya, antara garis panduan ditetapkan adalah setiap peserta perlu diasingkan lelaki dan perempuan, tidak dicampuri unsur syirik dan diadakan di kawasan lapang serta luas.

“Garis panduan ini bukan peraturan, namun adalah sebagai contoh yang perlu dipatuhi pendakwah atau penganjur program berselawat bagi memastikan tidak timbul masalah hingga menimbulkan pelbagai persoalan daripada orang ramai.

“Kita tidak pernah melarang sebarang bentuk penganjuran program berselawat, malah majlis selawat perdana yang diadakan sebelum ini boleh diteruskan ke seluruh negara namun bergantung kepada kebenaran yang dikeluarkan jabatan agama Islam negeri masing-masing,” katanya dalam Majlis Wacana Ilmu, Isu Semasa Hal-Hal Islam, semalam.

Majlis dihadiri lebih 100 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), imam masjid dan ahli jawatankuasa masjid membincangkan isu semasa yang melanda masyarakat Islam berkaitan jihad, ajaran sesat dan penganjuran majlis selawat.

Laman sosial seperti Facebook dan Twitter selain portal berita mendakwa penganjuran selawat perdana meragukan apabila dikatakan peserta bercampur antara lelaki dan perempuan selain tidak mematuhi hukum syarak.

Keadaan itu mencetuskan kekeliruan terhadap masyarakat Islam di negara ini, malah ada antara mereka mahu program berkenaan dihentikan serta-merta bagi memastikan kesucian Islam tidak dicemari.

Sementara itu, Jamil Khir dalam ucapannya mahu golongan agama menyokong dasar dan perancangan kerajaan dalam memastikan syiar Islam terus terbela serta berkembang di negara ini tanpa sebarang masalah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 9:06 AM