IKBAL (tengah)  menunjukkan artikel  dikeluarkan Kementerian Kesihatan  berkaitan  vape.
IKBAL (tengah) menunjukkan artikel dikeluarkan Kementerian Kesihatan berkaitan vape.
Oleh Icka S Hassan

Shah Alam: Jangan cepat menghukum!. Itu gesaan Persatuan E-Vaporizer dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA) kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung isu rokok elektronik atau vape.

Timbalan Presidennya Ikbal Zakaria berkata, satu garis panduan sepatutnya dikeluarkan kementerian berkaitan memastikan perisa dan cecair vape mempunyai kandungan dibenarkan untuk dijual kepada umum.

Beliau berkata, tindakan KKM merampas cecair vape tanpa garis panduan sebagai rujukan kepada peniaga adalah tindakan keterlaluan khususnya kepada peniaga yang mengeluarkan kos yang tinggi untuk menghasilkannya.

“Garis panduan berkaitan kandungan dalam cecair vape perlu dikeluarkan terlebih dulu oleh KKM sebelum tindakan diambil.

“Tindakan mereka ini dilihat tergesa-gesa sehingga industri vape yang turut memberi sumbangan kepada ekonomi yang dianggarkan mencecah 2.8 bilion tahun ini dipandang serong seolah-olah ia jenayah,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, MEVTA sentiasa membuka pintu rundingan dan perbincangan oleh mana-mana pihak khususnya kerajaan supaya maklumat yang tepat diperoleh.

Katanya, persatuan itu juga tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan pihak berkuasa agar perniagaan ini dikawal selia menerusi undang-undang yang bakal digubal KKM kelak.

“Pintu rundingan sepatutnya dibuka supaya semua pihak mendapat maklumat yang tepat mengenai vape dan tidak disalah erti seperti ia satu kesalahan besar.

“Banyak ruang untuk semua sebenarnya jika peluang (perbincangan) diberikan sewajarnya. Janganlah buat sampai kami hilang sumber mata pencarian dengan menguatkuasakan undang-undang dan dan peraturan serta-merta,” katanya.

Tambahnya, peluang perlu diberikan kepada mereka yang terbabit secara langsung dalam industri ini supaya apa yang diusahakan peniaga sah disisi undang-undang, selain mampu menjana pendapatan baik.

Majlis Fatwa Kebangsaan awal minggu ini bersepakat dan bersetuju bahawa hukum penggunaan vape adalah haram.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 3:07 AM