Putrajaya: Pihak yang bertanggungjawab perlu mengingatkan penganjur supaya mematuhi Garis Panduan Hiburan Dalam Islam ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum mengadakan konsert di negara ini, sekali gus membendung masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan generasi muda.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, JAKIM sentiasa berpesan kepada pihak yang bertanggungjawab supaya peringatan itu disampaikan kepada penganjur konsert.

Bagaimanapun beliau berkata, terdapat beberapa perkara yang bercanggah dengan agama berlaku secara spontan semasa konsert berlangsung menyebabkan ia perlu ditangani.

“Sebab itu kita panggil banyak pihak termasuk penganjur untuk kita jelaskan mengenai garis panduan itu, selain kejadian yang sudah berlaku baru-baru ini.

“Kadang-kadang mereka mungkin lupa bahawa sudah ada garis panduan yang dikeluarkan JAKIM dan ia perlu sentiasa diingatkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Banjir daripada Asian Finance Bank, di sini, semalam.

Pada majlis itu, Asian Finance Bank menyerahkan sumbangan RM107,000 bagi membantu membaiki kerosakan yang dialami masjid di Kelantan, Pahang dan Terengganu.

Sumbangan diserahkan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Finance Bank Datuk Mohamed Azahari Kamil kepada Jamil Khir.

Jamil Khir berkata, walaupun garis panduan itu dapat menjaga umat Islam daripada sebarang perkara negatif, kuasa untuk membenarkan sesuatu konsert berlangsung bukan dibawah JAKIM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:17 AM