HIBURAN mengikut Islam adalah suatu yang menenangkan dan mendidik jiwa.
HIBURAN mengikut Islam adalah suatu yang menenangkan dan mendidik jiwa.
Datuk Mohd Ajib Ismail

Hiburan adalah fitrah semula jadi di dalam kehidupan manusia. Seringkali manusia mencari hiburan untuk menenangkan perasaan dan jiwa yang sedang berada di dalam gundah-gulana. Sebahagian manusia menjadikan hiburan sebagai medium untuk menyerlahkan bakat, kreativiti dan emosi. Hiburan juga adalah sebahagian daripada keindahan seni, kehalusan bahasa dan keunikan budaya yang mampu mententeramkan jiwa dan mengundang kegembiraan.

Islam sebagai agama yang meraikan keperluan fitrah manusia tidak menghalang umatnya berhibur. Walau bagaimanapun hiburan yang diharuskan di dalam Islam perlulah berlandaskan nilai dan syariat yang telah ditetapkan. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Rubai' binti al-Mu'awwiz RA maksudnya: "Nabi Muhammad SAW telah datang kepadaku pada hari perkahwinanku dan Baginda duduk di atas katil yang kamu (perawi Khalid ibn Zakwan) sedang duduk sekarang, sedang sekumpulan remaja perempuan bermain gendang dan menyanyikan lagu kesedihan sempena kematian ayahku yang terbunuh sewaktu perang Badar. Kemudian salah seorang perempuan tersebut berkata: Ada seorang Nabi dalam kalangan kami yang mengetahui apa yang akan terjadi esok. Nabi SAW berkata kepadanya: Jangan kamu kata begitu, tapi teruskan apa yang kamu katakan sebelumnya."  (Riwayat al-Bukhari)

Justeru, hiburan adalah perkara yang diharuskan oleh syariat, namun sudah pasti mempunyai batasan tertentu yang perlu dipatuhi. Syariat Islam diturunkan bukan bertujuan menyekat kebebasan, tetapi bagi mengawal dan mengatur keperluan manusia untuk menjamin kesejahteran dan kebahagiaan hidup yang berpanjangan. Sebagai seorang Muslim, kita hendaklah meyakini bahawa cara hidup Islam adalah yang paling sempurna serta memenuhi semua aspek keperluan kehidupan manusia sebagaimana firman Allah di dalam al-Quran surah Ali 'Imran ayat 19 bermaksud: "Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisab-Nya."

Hakikatnya, hiburan di dalam Islam adalah suatu yang menenangkan dan mendidik jiwa bukan sekadar untuk mencari keseronokan dan memenuhi gelojak nafsu tanpa batasan. Konsep berhibur di dalam Islam bertujuan membangunkan dan mendamaikan jiwa, menenangkan fikiran dan merehatkan rohani serta jasmani bukan dengan tujuan yang sia-sia. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Mu'minun ayat 115 yang bermaksud: "Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmah pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

Dari sudut pandangan fikah, hukum hiburan adalah berasaskan kaedah yang bermaksud 'pada asal sesuatu hukum itu adalah diharuskan, sehingga terdapat dalil ke atas pengharamannya.' Terdapat beberapa penetapan hukum dalam hiburan antaranya ialah: Makruh,  sekiranya hiburan itu  tidak memberi sebarang kesan baik  kepada manusia kerana melakukan perbuatan yang tidak berfaedah. Haram,  sekiranya membawa keburukan kepada inidividu dan masyarakat seperti perbuatan yang bercampur dengan perkara yang diharamkan syarak. Dibenarkan  dan digalakkan, sekiranya hiburan itu memberi kesan yang baik kepada individu dan masyarakat. (Al-Fiqh al-Manhaji)

Pada zaman kini, pelbagai bentuk program hiburan disajikan kepada masyarakat melalui pelbagai medium dan saluran sama ada secara fizikal ataupun dalam talian. Oleh itu menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan pilihan hiburan yang bermanfaat dan selari dengan tuntutan Islam. Pelbagai pihak telah menyediakan rancangan hiburan yang lebih menepati kehendak syarak seperti nasyid, zikir dan selawat, qasidah, haflah al-Quran, drama dan filem Islami serta pelbagai lagi. Di dalam hal ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga telah menyediakan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam yang dikemaskini pada 2015, hasil Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-107 sebagai rujukan kepada pelbagai pihak yang terlibat di dalam industri hiburan. Ia dapat dijadikan panduan di dalam usaha untuk mewujudkan masyarakat yang dapat mengamalkan, menghayati dan menikmati hiburan berteraskan nilai akhlak dan syariat Islam.

Di dalam garis panduan tersebut ditegaskan bahawa hiburan sepatutnya mencapai maksud dan prinsip Islam yang menekankan ke arah kesejahteraan umat manusia. Selain bermatlamatkan kebaikan dan kesejahteraan, sesuatu program hiburan yang dianjurkan harus mengambil kira masa yang bersesuaian dengan sensitiviti masyarakat dan ajaran Islam. Hiburan juga tidak harus melalaikan dan jauh dari sebarang unsur syubhah atau situasi yang boleh mengundang kepada fitnah selaras dengan kaedah yang bermaksud 'berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.'

Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar RA yang maksudnya: "Barangsiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah." Oleh itu, sebarang perkara yang berisiko menimbulkan fitnah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang buruk untuk jangka masa pendek mahupun panjang.

Di dalam situasi masyarakat yang sedang bergelut dengan ujian dan musibah yang menuntut keprihatinan daripada pelbagai pihak, seharusnya kita lebih bijak dan berhati-hati di dalam menganjurkan atau menyertai sebarang bentuk program hiburan dengan mengambil kira sensitiviti semasa. Tanpa menafikan hiburan perlu bagi mengubati jiwa yang berada di dalam kedukaan dan tertekan, namun hiburan yang terbaik ketika berhadapan dengan ujian dan musibah di dalam kehidupan adalah dengan zikrullah sebagaimana firman Allah di dalam al-Quran surah ar-Ra'd ayat 28 yang bermaksud: "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia."

Luangkanlah masa untuk menyertai program zikir dan munajat yang dianjurkan secara dalam talian serta anjurkanlah lebih banyak program seumpamanya di dalam keluarga dan masyarakat agar kita semua beroleh ketenangan yang hakiki.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 6:00 AM