Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan melakukan lawatan kerja dua hari ke Indonesia bermula Khamis ini bagi menghadiri sambutan ulang tahun ke-60 Persidangan Asia-Afrika dan ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Baru Asia-Afrika di Bandung.

Menurut kenyataan Kementerian Luar semalam, lawatan dua hari itu memberi peluang kepada Najib untuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama dengan pemimpin dari negara Asia dan Afrika.

“Lawatan itu melambangkan sokongan dan komitmen berterusan Malaysia untuk mengukuhkan kerjasama dengan negara membangun lain, khususnya di Asia dan Afrika dengan satu tujuan, iaitu untuk menggalakkan keamanan dan kemakmuran dunia menerusi kerjasama Selatan-Selatan,” menurut kenyataan itu.

Dalam lawatan itu, Perdana Menteri akan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Sambutan ulang tahun Persidangan Asia-Afrika dan Perkongsian Strategik Baru Asia-Afrika akan menghimpunkan ketua-ketua negara daripada 109 negara di Asia dan Afrika selain wakil-wakil dan pemerhati daripada 25 organisasi antarabangsa.

Sambutan memperingati ulang tahun itu akan didahului Mesyuarat Menteri-Menteri Asia-Afrika pada 20 dan 21 April, diikuti dengan Sidang Kemuncak Asia-Afrika bertema ‘Memperkukuhkan Kerjasama Selatan-Selatan untuk Menggalakkan Keamanan dan Kemakmuran Dunia pada 22 dan 23 April di Jakarta.

Anifah dan Ahmad Shabery akan menghadiri Sidang Kemuncak Asia-Afrika.

Tiga dokumen dijangka diumumkan pada akhir persidangan iaitu Mesej Bandung 2015, Deklarasi untuk mengaktifkan semula Perkongsian Strategik Baru Asia-Afrika dan Deklarasi Palestin.

Persidangan Asia-Afrika yang pertama dianjurkan bersama lima negara iaitu India, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan Sri Lanka di Bandung, Indonesia pada 1955.

Persidangan ini melambangkan perkongsian aspirasi dan solidariti di kalangan negara-negara Asia dan Afrika yang baru mencapai kemerdekaan dan bebas daripada penjajahan.– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 6:28 AM