Bandung: Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim akan mengadakan pertemuan dengan sidang pengarang Tempo berikutan edisi terkini majalah itu yang menyiarkan laporan negatif dan tidak benar mengenai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Zahrain berkata, pertemuan yang dirancang diadakan secepat mungkin itu bertujuan memberi penjelasan dan fakta sebenar mengenai Perdana Menteri.

“Saya melihat Tempo menulis berita itu dengan mengambil fakta daripada sumber lain termasuk media luar negara. Fakta itu tidak benar. Jadi saya mahu maklumkan fakta sebenar mengenai Perdana Menteri kita termasuk latar belakangnya,” katanya dalam sidang media di sini sebentar tadi.

Sidang media diadakan untuk menerangkan mengenai atur cara Najib di Bandung sempena sambutan ulang tahun ke-60 Persidangan Asia Afrika, Jumaat ini.

Zahrain berkata, dia juga merancang mengadakan pertemuan dengan persatuan wartawan Indonesia untuk memberi penjelasan dan maklumat tepat mengenai Perdana Menteri serta isu semasa di Malaysia bagi mengelakkan perkara sama berulang.

Satu rencana di dalam majalah Tempo edisi khas sempena sambutan ulang tahun ke -60 Persidangan Asia Afrika yang berlangsung di Jakarta dan bandar ini, bermula 19 April lalu hingga esok, terkandung banyak fakta tidak benar mengenai Najib dan isteri yang ditohmah berbelanja besar serta hidup serba mewah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 10:16 AM