Jakarta: Kerajaan-kerajaan di Asia dan Afrika digesa menyokong perdagangan antarabangsa antara benua dengan mengurangkan halangan perdagangan, memudahkan kerjasama perdagangan dan perkhidmatan seperti dalam sektor pelancongan.

Ketika membuat gesaan itu, Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri Indonesia (KADIN), Suryo Bambang Sulisto berkata: “Wujud pelengkap yang sangat baik antara negara di Asia dan Afrika menerusi perjanjian perdagangan antara benua, seperti Perjanjian Perdagangan Bebas antara Asean dan Komuniti Pembangunan Selatan Afrika (SADC).

“Menerusi perjanjian ini, negara dari selatan Afrika boleh menjual produk pertanian mereka seperti buah-buahan, sayur-sayuran, daging dan penternakan lembu, secara bebas manakala negara anggota Asean boleh menjual produk elektronik, jentera dan kenderaan.

“Satu lagi perjanjian perdagangan yang telah diusulkan ialah Pasaran Bersama untuk Timur dan Selatan Afrika (COMESA) dan Komuniti Afrika Timur (EAC),” katanya dalam ucapan pada Sidang Kemuncak Perniagaan Asia-Afrika 2015 (AABS 2015), di sini, hari ini.

Pada sidang kemuncak itu, sektor strategik seperti perdagangan, pelaburan, infrastruktur, maritim dan industri pertanian menjadi antara topik utama.

“KADIN berharap kerjasama konkrit dan nyata antara negara di Asia boleh ditingkatkan dengan ketara hasil daripada sidang kemuncak ini.

Sementara itu, ketua jawatankuasa ABBS 2015, Noke Kiroyan berkata: “Kami perlu mendapatkan potensi perniagaan baharu, dan pada masa yang sama mempromosikan perdagangan sesama negara di Asia dan Afrika.”

Beliau menegaskan bahawa perdagangan dan pelaburan di Afrika perlu dipercepatkan supaya ia boleh digunakan secara optimum.

Di pihak lain, Afrika masih dipengaruhi oleh imej negatif seperti penyakit Ebola, keganasan oleh Boko Haram dan lanun yang mengancam laluan perdagangan.”

Bagaimanapun, beliau berkata Afrika kaya dengan potensi yang boleh dimanfaatkan.

Noke mendakwa bahawa Nigeria dan Afrika Selatan merupakan dua negara yang mempunyai potensi pelaburan.

Keluaran dalam negara kasar Nigeria (KDNK) per kapita mencecah US$3,500 sementara KDNK Afrika Selatan per kapita mencecah US$6,500.

Noke berkata sudah menjadi tanggungjawab masyarakat perniagaan untuk memanfaatkan potensi ini.

Bagi menggalakkan pembangunan, ABBS merancang memperkenal Majlis Perniagaan Asia Afrika yang boleh membantu masyarakat perniagaan merealisasikan potensi perdagangan antara Asia dan Afrika,” katanya.

Antara Asia dan negara Afrika, Indonesia menduduki tangga ke-17 dalam kalangan 44 negara di Asia dan Afrika dari segi infrastruktur.

Infrastruktur yang kurang dibangunkan ini menyebabkan peningkatan kos logistik, yang menjejaskan harga produk Indonesia dan menjadikannya kurang berdaya saing dalam pasaran global.

Oleh itu kerajaan Indonesia perlu meletakkan pembangunan infrastruktur sebagai agenda utama mereka. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 9:24 PM