Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke acara sambutan memperingati ulang tahun ke-60 Persidangan Asia Afrika (AAC) di sini esok, mencerminkan kesungguhan Malaysia untuk bekerjasama dengan negara di dua benua itu dalam menangani pelbagai isu antarabangsa.

Kehadiran pemimpin dan wakil dari 109 negara dan 25 organisasi antarabangsa selaku pemerhati ke AAC yang bermula secara rasmi di Jakarta April lalu menjadikan ia platform yang amat baik untuk Malaysia mendapat manfaat daripadanya serta menyuarakan pandangan atau pendirian mengenai sesuatu perkara.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, sebagai contoh ketika sidang kemuncak berlangsung di Jakarta selama dua hari berakhir hari ini (23 April) Menteri Penerangan, Komunikasi dan Multimedia Datuk Ahmad Shabery Cheek yang mewakili Perdana Menteri sudah mengetengahkan tema kesederhanaan yang diperjuangkan Malaysia untuk dikongsi dengan negara peserta.

Menurutnya, antara isu antarabangsa lain yang turut dibincangkan termasuklah pengukuhan kerjasama Negara Selatan-Selatan, senjata pemusnah massa, pembasmian kemiskinan, selain ancaman puak militan atau pengganas.

“Selain itu, turut mendapat perhatian ialah usaha sama pelbagai negara untuk memperkembang atau menambah baik sistem amaran awal sekiranya berlaku tsunami,” katanya dalam sidang media kepada wartawan Malaysia di sini, semalam.

Zahrain berkata, sidang kemuncak AAC kali ini berlangsung dengan tema Memperkukuhkan Kerjasama Selatan Selatan Untuk Menggalakkan Keamanan dan Kemakmuran Dunia.

Menurutnya, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dijadual tiba di sini pada jam 4 petang ini dengan acara pertama ialah mengadakan pertemuan dan majlis dialog dengan pelajar Malaysia mengenai isu semasa di tanah air.

Esok, Najib akan menyertai pemimpin negara lain yang diketuai Presiden Indonesia Joko Widodo untuk melakukan acara Jalanan Bersejarah dari Hotel Savoy Homann ke Gedung Merdeka sejauh kira-kira 120 meter di Jalan Asia Afrika di tengah ibu kota ini.

Acara itu mengimbas semula sejarah 60 tahun lalu ketika Presiden Soeharto mengetuai acara yang sama bersama empat lagi ketua negara penganjur AAC iaitu India, Myanmar, Pakistan dan Sri Lanka serta 29 ketua negara lain yang diundang.

Ketika diasaskan, AAC melambangkan perkongsian aspirasi dan solidariti di kalangan negara-negara Asia dan Afrika yang baru merdeka dan bebas daripada penjajahan. Antara hasil terpenting AAC ialah penubuhan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) pada 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 10:17 AM