NAJIB bersama anggota rombongan menunaikan solat sunat Aidiladha di  New York.
NAJIB bersama anggota rombongan menunaikan solat sunat Aidiladha di New York.
BERNAMA

New York: Datuk Seri Najib Razak mempunyai jadual padat pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu di sini, dengan menyertai dalam sekurang-kurangnya tujuh mesyuarat peringkat tertinggi yang akan diadakan di kompleks PBB di Manhattan di sini.

Perdana menteri, yang mengetuai delegasi terdiri daripada beberapa menteri Kabinet, akan menyampaikan pernyataan rasmi pada mesyuarat berkenaan sebelum berucap dalam Debat Umum PBB pada 1 Oktober.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, perdana menteri akan turut diiringi Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Madius Tangau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Anifah berkata, tema bagi sesi tahun ini ialah PBB pada 70: Jalan ke Arah Keamanan, Keselamatan dan Hak Asasi Manusia.

Di luar persidangan itu, Anifah berkata, Najib dijadual mengadakan rundingan dua hala dengan beberapa ketua kerajaan dan ketua negara yang menghadiri perhimpunan agung itu.

Najib terlebih dulu akan berucap pada rundingan Meja Bulat Peringkat Tinggi mengenai Kerjasama Selatan-Selatan, antara lain akan dihadiri Setiausaha Agung PBB Ban ki-Moon dan pemimpin China, Xi Jinping.

Semasa di New York, perdana menteri dijadual menerima anugerah pada majlis jamuan malam gala bersempena ulang tahun ke-150 Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).

Anugerah itu berikutan sumbangan beliau ke arah memanfaatkan potensi teknologi komunikasi dan maklumat bagi pembangunan lestari.

Esok Najib adalah antara pemimpin yang akan berucap pada Sidang Kemuncak PBB untuk Menerima Pakai Agenda Pembangunan pasca-2015 mengenai Pembangunan Mapan.

Anifah berkata, Najib dijangka menggariskan komitmen dan sokongan Malaysia bagi Agenda Pembangunan 2030 dan pelaksanaannya.

Pada hari sama, perdana menteri dijadual berucap pada Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Sedunia mengenai Kesamarataan Gender dan Pemerkasaan Wanita.

Isnin ini, Najib akan mempengerusikan Mesyuarat ke-5 Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) di sebuah hotel di sini.

Beliau kemudian akan beredar ke ibu pejabat PBB untuk menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak para Pemimpin mengenai Pemeliharaan Keamanan, sesi yang dipengerusikan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.

Ini disusuli dengan majlis minum petang Najib bersama diaspora Malaysia di Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia di sini sebagai sebahagian daripada Program Outreach kerajaan dengan rakyat Malaysia di luar negara yang tinggal, belajar dan bekerja di Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2015 @ 5:41 AM