Oleh Mohd Razlan Salleh dan Ruzaini Zulkepli

Kota Kinabalu: “Saya berterima kasih dan bersyukur kepada Allah SWT,” kata Lans Koperal Zakia Aleip, 27, anggota Pasukan Polis Marin (PPM) yang dibebaskan semalam selepas hampir lapan bulan diculik kumpulan bersenjata di Pulau Mabul, Semporna, tahun lalu.

Anggota polis itu berterima kasih kepada kerajaan atas usaha berterusan membebaskannya selepas diculik kumpulan bersenjata itu pada 12 Julai tahun lalu ketika melakukan rondaan di sebuah resort di pulau berkenaan.

“Terima kasih terutamanya Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak), Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Musa Aman) serta Polis Diraja Malaysia khususnya Pengarah Cawangan Khas dan timbalannya,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar oleh Musa untuk mengumumkan pembebasannya di Sandakan semalam.

Zakia, tiba di Sandakan kira-kira jam 7 pagi dan selepas berjumpa dengan Musa, dia diiringi pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah menaiki pesawat ke Kota Kinabalu.

Sementara itu, isterinya Sharifah Erna Berson, 23, berkata, tiada apa lagi mampu diucapkannya melainkan bersyukur apabila mengetahui suaminya sudah dibebaskan dan berada dalam keadaan selamat.

Menurut Sharifah Erna, beberapa anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran tiba di rumahnya kira-kira jam 10 pagi memaklumkan perkara itu.

“Saya kehilangan kata-kata kerana terlalu gembira selepas dimaklumkan mengenai pembebasan Zakia.

“Alhamdulillah...suami saya sudah dibebaskan dan tidak tahu lagi apa mahu cakap,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad, di sini, semalam.

Sementara itu, usaha Metro Ahad menemui Sharifah Erna di rumahnya di Tenghilan, Tuaran, tidak berhasil apabila dimaklumkan ahli keluarga mereka wanita terbabit sudah dibawa polis, dipercayai untuk bertemu suaminya.

Menurut abang Zakia, Zakriah, 35, mereka sekeluarga sangat gembira apabila dimaklumkan mengenai pembebasan adiknya itu.

“Saya bersyukur apabila diberitahu mengenai pembebasan Zakia dan kami bersiap sedia untuk mengadakan kenduri doa selamat sebagai tanda kesyukuran.

“Kini, kami tidak sabar untuk bersua muka dengannya dan difahamkan, dia (Zakia) berada dalam keadaan baik,” katanya ketika ditemui.

Zakriah yang juga abang sulung kepada enam beradik itu mengakui mereka sekeluarga gagal menahan sebak apabila diberitahu adiknya berjaya dibebaskan dan berada di Sandakan bersama Ketua Menteri kira-kira jam 9 pagi semalam.

“Debaran selama lapan bulan menanti ketibaan Zakia sudah berakhir.

“Syukurlah dia sudah bebas dan terima kasih kepada pihak berkuasa terutama PDRM dan kerajaan yang banyak membantu selama ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2015 @ 5:16 AM