ANGGOTA polis memeriksa tempat kejadian selepas dua warga tempatan diculik pada 14 Mei lalu. Seorang daripada mereka, Thien (gambar kecil) sudah dibebaskan. FOTO fail NSTP
ANGGOTA polis memeriksa tempat kejadian selepas dua warga tempatan diculik pada 14 Mei lalu. Seorang daripada mereka, Thien (gambar kecil) sudah dibebaskan. FOTO fail NSTP
Oleh Mohd Razlan Salleh dan Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: "Kami sekeluarga ada bertemu di restoran, malam tadi, memaklumkan mengenai pembebasan Thien Nyuk Fun yang diculik pada 14 Mei lalu," kata abang ipar mangsa, Chong Yun Thiam, ketika dihubungi, hari ini.

Chong, 60, yang juga rakan kongsi mangsa berkata, mereka berkumpul dan dimaklumkan adik iparnya itu dalam perjalanan pulang ke rumah.

"Seorang anak mangsa memaklumkan berita gembira ini dan kami memang tidak sabar menunggu kepulangannya.

"Namun setakat ini, saya masih belum bertemu dan melihat Thien dengan mata saya sendiri," katanya.

Bagaimanapun, Chong enggan mengulas mengenai bayaran tebusan untuk membebaskan adik iparnya itu.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak termasuk pasukan keselamatan yang membantu kami selama ini," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman mengesahkan mengenai pembebasan itu.

"Saya ada dimaklumkan mengenai perkara ini dan sudah pasti ahli keluarga mangsa tidak sabar untuk menemuinya (mangsa).

"Pembebasan ini adalah hasil kerja keras pihak berkuasa sejak beberapa bulan lalu yang berusaha membawa pulang mangsa ke pangkuan keluarga," katanya.

Pada masa sama, Musa turut meminta semua pihak termasuk pihak keselamatan mengetatkan lagi kawalan di sekitar perairan negara bagi mengelak kejadian sama berulang.

Terdahulu, menurut portal berita luar negara, mangsa dibawa keluar dari Indanan, Jolo sekitar 11 malam semalam selepas menerima wang tebusan berjumlah RM2.7 juta (30 juta Peso).

Mangsa kemudian dibawa melalui jalan laut menggunakan bot laju dan mengambil masa lapan jam untuk tiba di Sandakan.

Dalam kejadian pada 14 Mei lalu, Thien bersama rakannya, Bernard Tien, 39, diculik sekumpulan lelaki dan dilarikan ke selatan Filipina.

Setakat ini, usaha membebaskan seorang lagi mangsa sedang giat dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 3:54 PM