IBU bapa dan keluarga memainkan peranan penting dalam memantau dan membimbing anak-anak mereka.
IBU bapa dan keluarga memainkan peranan penting dalam memantau dan membimbing anak-anak mereka.
Prof Madya Dr Azlan Shaiful Baharum

Fenomena iklan berunsur lucah kini semakin menjadi-jadi dalam media massa, media sosial  dan platform digital.  Baru-baru ini tular iklan produk  kesihatan  wanita  milik figura terkenal yang memaparkan grafik  'makna berganda'  (double meaning) yang jelas merujuk kepada unsur kelucahan  sama ada gambar atau frasa  lucah  yang ketara.  Dalam usaha menarik perhatian penonton dan pengguna, iklan-iklan ini sering kali mengandungi unsur-unsur yang tidak sesuai dan tidak bermoral. Ini menimbulkan kebimbangan yang besar terhadap kesannya  yang amat negatif  terhadap masyarakat, terutama sekali kepada generasi muda  bermula dari kanak-kanak hingga remaja.


Kesan terhadap generasi muda

Generasi muda  masa kini  adalah golongan yang paling terdedah kepada pengaruh iklan berunsur lucah ini. Pada usia yang muda, mereka lebih mudah terpengaruh dan meniru apa yang mereka lihat dalam media  sosial dan iklan yang sukar ditapis yang melalui halaman akaun mereka. Iklan yang mengandungi unsur lucah boleh memberi kesan buruk  jangka panjang  terhadap perkembangan mental dan moral mereka. 

Antara kesan buruk yang boleh dilihat termasuklah perubahan dalam tingkah laku, akhlak, jati diri  dan pemikiran mereka. Generasi muda mungkin mula melihat tingkah laku tidak bermoral sebagai sesuatu yang normal dan diterima dalam masyarakat. Ini boleh membawa kepada  kebejatan  nilai-nilai moral dan etika dalam kehidupan seharian mereka.


Larangan dalam al-Quran dan Hadis

Islam dengan tegas melarang segala bentuk perbuatan yang boleh merosakkan akhlak dan moral individu serta  masyarakat sejagat. Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nur, ayat 30-31:  "Katakalah kepada orang-orang Mukmin agar mereka menundukkan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman agar mereka menundukkan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka."

Dalam hadis sahih, Rasulullah SAW bersabda:  "Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "Setiap anak Adam ada bahagiannya daripada zina. Dua mata berzina, zina kedua-duanya ialah melihat. Dua tangan berzina, zina kedua-duanya ialah menyentuh. Dua kaki berzina, zina kedua-duanya ialah melangkah. Mulut berzina, zinanya ialah mencium. Hati bernafsu dan berangan-angan. Kemudian kemaluan membenarkannya atau mendustakannya." (Hadis Riwayat Muslim)


Punca penyebaran iklan berunsur lucah

Salah satu punca utama penyebaran iklan berunsur lucah  dan sensasi  adalah keinginan untuk menarik perhatian  pelanggan dan meningkatkan jualan  dengan segera. Pemasar dan pengiklan  produk  menggunakan strategi yang mengeksploitasi  wanita, serta  naluri dan nafsu manusia untuk mencapai matlamat komersial mereka. Dalam era digital ini, akses kepada maklumat dan media menjadi semakin mudah, menjadikan penyebaran iklan ini sukar dikawal.  Selain itu, kurangnya pengawasan dan penguatkuasaan undang-undang juga menyumbang kepada masalah ini. Pihak berkuasa perlu lebih tegas dalam menangani isu iklan berunsur lucah dan memastikan bahawa peraturan yang ada dipatuhi dengan ketat.

Justeru, apa jua dilakukan  'matlamat tidak menghalalkan cara' biasanya dikaitkan dengan prinsip etika yang menekankan bahawa tindakan tidak boleh dianggap benar hanya kerana hasil akhirnya baik. Walaupun  ia  sering digunakan dalam pelbagai konteks agama dan falsafah, ia tidak mempunyai satu sumber asal yang spesifik atau seorang individu tertentu yang pertama kali mengucapkannya.  

Dalam konteks Islam, prinsip ini selaras dengan ajaran bahawa niat yang baik tidak boleh digunakan untuk membenarkan tindakan yang haram atau tidak bermoral. Sebagai contoh, dalam Islam, perbuatan haram seperti  menyerbarkan unsur lucah dalam perniagaan,  mencuri atau berbohong tidak boleh diterima walaupun tujuannya adalah untuk mencapai sesuatu yang baik.

Terdapat hadis yang boleh dikaitkan dengan prinsip ini, seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas'ud, Rasulullah SAW bersabda:  "Sesungguhnya kejujuran membawa kepada kebaikan dan kebaikan membawa kepada syurga. Seseorang yang selalu berlaku jujur hingga dicatat di sisi Allah sebagai orang yang jujur. Dan sesungguhnya kebohongan membawa kepada kejahatan dan kejahatan membawa kepada neraka. Seseorang yang selalu berbohong hingga dicatat di sisi Allah sebagai pendusta." (Hadis  Riwayat al-Bukhari dan Muslim).  Hadis ini menekankan pentingnya kejujuran dan integriti dan ia menolak idea bahawa tujuan yang baik dapat membenarkan tindakan yang tidak jujur atau tidak bermoral.


Langkah-Langkah Mengatasi

Untuk mengatasi masalah ini, beberapa langkah boleh diambil:

1. Pendidikan moral dan agama - Pendidikan moral dan agama harus diperkuatkan dalam kalangan generasi muda. Mereka perlu diberi pemahaman yang jelas tentang bahaya dan kesan buruk iklan berunsur lucah serta pentingnya menjaga akhlak dan moral.

2. Penguatkuasaan undang-undang - Pihak berkuasa perlu memperketatkan penguatkuasaan undang-undang berkaitan iklan dan memastikan tindakan tegas diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan.

3. Peranan ibu bapa dan keluarga - Ibu bapa dan keluarga memainkan peranan penting dalam memantau dan membimbing anak-anak mereka. Mereka perlu memastikan anak-anak terdedah kepada kandungan yang positif dan mendidik mereka tentang bahaya kandungan yang tidak bermoral.

4. Kerjasama dengan platform digital - Kerjasama dengan platform digital dan media sosial perlu dilakukan untuk memastikan iklan berunsur lucah tidak disebarkan secara meluas. Pihak platform perlu bertanggungjawab dalam mengawal dan menapis kandungan yang dipaparkan kepada pengguna.

Kesimpulannya, iklan berunsur lucah adalah satu fenomena yang membimbangkan dan memberi kesan buruk kepada masyarakat, terutamanya generasi muda. Tindakan segera perlu diambil oleh semua pihak untuk mengatasi masalah ini. Jika ia tidak dibendung lebih awal dan segera ia memberi kesan yang amat besar kepada kita. Golongan yang menebarkannya juga akan menanggung dosa yang berterusan. Dengan usaha bersama, kita dapat memastikan generasi muda kita terpelihara daripada pengaruh buruk dan berkembang menjadi individu yang berakhlak mulia.  Insya-Allah.


Penulis Profesor Madya Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 6:01 AM