KOTA KINABALU: Usaha untuk membebaskan anggota Pasukan Polis Marin, Konst Zakia Aliep, yang diculik dari sebuah resort di Semporna tahun lepas masih dijalankan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman.

Jalaluddin berkaat usaha membebaskan Zakia masih diteruskan namun komunikasi antara kumpulan penculik berkenaan dengan isteri Zakia, Sharifah Erna Berson tidak lagi dibenarkan sekerap seperti sebelum ini kerana ia boleh mengganggu usaha pembebasan itu.

“Usaha memang dijalankan. Sepatutnya mereka sudah dibebaskan. Ingat masa pembebasan mangsa culik (Chan Sai Chuin) di Kunak tu? Rundingan memang dijalankan untuk membebaskan kedua-duanya.

Zakia sepatutnya dibebaskan pada 10 Dis tahun lepas bersama dengan penternak ikan di Kunak, Chan Sai Chuin, 32 tetapi hanya Chan seorang sahaja yang dibebaskan, katanya.

Jalaluddin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai perkembangan anggota polis berkenaan dan usaha membebaskannya daripada tangan kumpulan penculik. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 January 2015 @ 1:43 PM