BERI peluang kepada generasi baru dalam bidang radio.
BERI peluang kepada generasi baru dalam bidang radio.
Najiy Jefri


Selepas hampir 13 tahun berkecimpung dalam dunia penyiaran radio, bekas penyampai radio Kool FM, Ikhwan Rosli belum terfikir untuk kembali mengintai peluang dalam kerjaya itu.

Ikhwan berkata, dia kini lebih selesa menjadi pemerhati dan penyokong kepada generasi muda untuk mencipta nama dalam bidang penyiaran.

"Saya rasa cukuplah pengalaman selama hampir 13 tahun sebagai penyampai radio. Sekarang ini masanya untuk saya belajar benda dan peluang baru.

"Saya tak merajuk pun. Memang ada yang bertanya tak nak 'on air' lagi ke? Tapi tak mengapalah lebih baik saya beri peluang kepada generasi muda pula.

"Kalau saya terus berada dalam dunia radio, bagaimana dengan nasib graduan komunikasi massa? Mereka pun nak rebut peluang itu," katanya.

Ikhwan yang kini mengintai peluang dalam dunia penerbitan mengakui ingin mencabar diri melakukan sesuatu yang baharu.

Katanya, dia percaya rezeki Allah cukup luas buat setiap hamba-Nya.

"Dia ibaratnya begini, roti pun ada tarikh luput, apatah lagi dengan kita manusia. Dalam industri ini pun banyak benda lagi yang saya perlu belajar. Saya sentiasa percaya pada rezeki Allah yang luas.

"Tapi untuk rakan-rakan seperjuangan yang memilih untuk kembali dalam bidang radio, tak salah pun mereka berbuat demikian kerana itu rezeki mereka dan barangkali mereka masih meminati bidang itu.

"Cuma saya pula memilih untuk cuba cabang lain. Sekarang ini saya sedang berjinak-jinak untuk terbabit dalam dunia penerbitan dan kafe kami pun sedang dalam pengubahsuaian," katanya.

Ikhwan sebelum ini pernah berkhidmat selama 10 tahun sebagai penyampai radio Hot FM bermula Januari 2006 dan kemudiannya berpindah di Kool FM sebelum menamatkan perkhidmatan pada November 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 6:18 AM