Kota Kinabalu: Tiada sebarang aksi berbalas tembakan berlaku ketika sepasukan anggota dipercayai dari Unit Tindakan Khas (UTK) diarah membawa pulang anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Lans Koperal Zakia Aleip, selepas lapan bulan diculik sekumpulan individu di Kepulauan Sulu, kelmarin.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, satu unit khas bertolak menaiki bot dari Sandakan ke Kepulauan Sulu pada jam 2.30 petang kelmarin sebelum tiba pada jam 11 malam hari sama.

“Sejurus berjaya mendapatkan Zakia di Indanan, Sulu, mereka bergegas pulang dan tiba di Sandakan pada jam 7.30 pagi tadi (semalam).

“Zakia kemudian terus dibawa bertemu Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di rumahnya di Libaran,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Jalaluddin enggan mengulas lanjut mengenai pembebasan anggota marin terbabit.

Sementara itu, Musa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri berkata, pembebasan mangsa adalah hasil usaha berterusan kerajaan melalui perundingan, doa semua pihak dan kesabaran serta ketabahan seluruh ahli keluarga Zakia.

“Pada kesempatan ini, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pasukan keselamatan yang berusaha sedaya upaya sehingga Lans Koperal Zakiah Aleip dibebaskan.

“Saya juga sudah menghubungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memaklumkan perkara ini dan beliau merakamkan perasaan gembira,” katanya.

Musa berkata, pasukan keselamatan perlu sentiasa bersiap siaga dalam apa jua keadaan bagi memastikan keselamatan dan keamanan negeri dan rakyat sentiasa terpelihara daripada sebarang ancaman, khususnya di perairan negara.

Terdahulu, Zakia, 27, diculik sekumpulan individu bersenjata yang melakukan serang hendap di Pulau Mabul, Semporna pada 12 Julai tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2015 @ 5:16 AM