Kuala Terengganu: Jumlah mangsa banjir di Terengganu menurun kepada 812 orang yang ditempatkan di 16 pusat pemindahan hingga jam 7 malam, semalam, berbanding 1,139 orang, kelmarin.

Menurut portal Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat Terengganu, Kemaman muncul daerah tertinggi dengan 419 orang daripada 110 keluarga ditempatkan di sembilan pusat pemindahan.

Dungun mencatatkan 343 orang daripada 104 keluarga ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara di Besut, seramai 32 orang daripada tujuh keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan.

Di Kuala Terengganu, seramai 18 orang daripada empat keluarga ditempatkan di satu pusat pemindahan manakala pusat pemindahan di tiga lagi daerah iaitu Marang, Setiu dan Hulu Terengganu ditutup sepenuhnya, semalam.

Sementara itu, Pegawai Memerintah Batalion 18 Rejimen Askar Melayu Diraja Leftenan Kolonel Mohd Tahir Symon berkata, pihaknya memberikan komitmen jitu dalam usaha menempatkan anggota di kesemua lokasi pusat pemindahan tanpa mengira masa dan keadaan untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda awam.

Beliau berkata, pihaknya melaksanakan Op Murni iaitu membantu memindahkan mangsa banjir di dua lokasi di Dungun pada Ahad lalu menggunakan aset Tentera Darat yang diselaraskan pasukannya berpangkalan di Kem Sri Pantai, Seberang Takir, di sini.

“Kita membantu memindahkan lima orang daripada satu keluarga di Kampung Pasir Raja ke Dewan Sivik Kampung Pasir Raja serta 17 orang daripada tiga keluarga di Kampung Minda ke Sekolah Kebangsaan Minda.

“Ia selaras dengan hasrat Panglima 8 Briged Brigadier Jeneral Datuk Azmy Yahya untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan meringankan beban penduduk terjejas akibat banjir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 9:04 AM