SEBANYAK 56 juta di seluruh dunia didapati alami obesiti sekali gus terdedah pelbagai risiko kesihatan. - FOTO Pexels
SEBANYAK 56 juta di seluruh dunia didapati alami obesiti sekali gus terdedah pelbagai risiko kesihatan. - FOTO Pexels
Hartini Mohd Nawi


KUCING antara haiwan yang gemar makan hingga sesetengahnya mengalami obesiti atau berat badan berlebihan.

Pada 2018 dikatakan hampir 56 juta kucing di seluruh dunia didapati mengalami obesiti.

Haiwan itu biasanya dianggap obesiti apabila berat badannya melebihi 20 peratus daripada berat yang sepatutnya ditimbang secara optimum.

Hari ini, obesiti dalam kalangan kucing dikategorikan sebagai penyakit yang mungkin menjejaskan usia haiwan itu sekali gus mengundang masalah kesihatan yang serius.

Karakter semula jadi haiwan ini ialah gemar melompat, berlari, tangkas menerkam selain aktif sepanjang masa.

Apabila mengalami obesiti, semua karakter itu kurang menyerlah atau kelihatan kucing anda pasif kerana badannya 'berat' untuk bergerak.

Kucing obesiti juga sering kelihatan lesu dan tidak bermaya. Malah kucing sering dikaitkan dengan pinggangnya yang anggun dan langsing membolehkannya membolosi ruang sempit dengan mudah tanpa terhalang.

Jika kucing peliharaan anda semakin berat badannya ia mungkin mula mengembangkan garis pinggang disebabkan pengumpulan lemak.

Haiwan ini juga gemar membersihkan diri dan ia biasanya boleh membongkok ke semua arah serta menjilat setiap bahagian badan.

Bagaimanapun jika mengalami obesiti, kucing anda tentunya hilang fleksibiliti ini.

Masalah gastroenterik dan usus adalah beberapa sebab utama di sebalik obesiti yang kucing peliharaan anda alami.

Apabila lemak terkumpul ia boleh menyebabkan seretan pada saluran penghadaman hingga haiwan itu tidak dapat melegakan diri. Keadaan ini membawa kepada pembentukan gastrousus.

Seterusnya persekitaran memainkan faktor penting dalam menentukan sama ada kucing anda mengalami obesiti atau sebaliknya.

Bagi kucing jalanan, ia perlu mencari makanan sendiri yang memerlukan mobiliti fizikal yang ketat, menyebabkan haiwan berkenaan kekal kurus.

Namun, jika hanya dikurung di dalam rumah, kucing terdedah kepada obesiti kerana kekurangan aktiviti fizikal.

Pada masa sama, gangguan metabolik dan endokrin serta sistem imun yang lemah boleh menyebabkan kucing mengalami obesiti.

Walaupun kucing adalah karnivor yang bergantung kepada lemak dan daging haiwan, namun makan secara berlebihan atau menelan makanan berkalori tinggi tanpa senaman fizikal yang mencukupi boleh menjadi punca utama obesiti dalam kalangan kucing peliharaan anda.

KUCING antara haiwan yang gemar makan.
KUCING antara haiwan yang gemar makan.

PASTIKAN kucing anda sihat dan tidak mengalami obesiti
PASTIKAN kucing anda sihat dan tidak mengalami obesiti

Kebanyakan pemilik kucing yang sibuk memilih untuk memberi makan kucing mereka makanan segera atau snek haiwan yang tidak diketahui khasiatnya.

Snek kucing umpamanya juga sering digunakan untuk tujuan latihan atau menggalakkan tingkah laku yang baik.

Bagaimanapun, adalah penting untuk anda memberi haiwan itu makan secara sederhana. Ini kerana pemberian makanan yang berlebihan boleh menyebabkan obesiti dan masalah kesihatan lain.

Risiko kesihatan yang sering dikaitkan dengan kucing obesiti ialah kencing manis, sistem imun terjejas, kegagalan hati, penyakit jantung, masalah pernafasan dan Dystosia (masalah bersalin).

Bagi mengatasi obesiti anda boleh memperkenalkan kucing anda kepada diet terkawal kalori yang terdiri daripada makanan dimasak sendiri seperti daging lembu dan ayam.

Memilih makanan basah juga membantu kucing anda kekal terhidrat sepanjang hari, selain menerima semua nutrien penting.

Jadual pemakanan yang ketat turut membantu kucing anda mengurangkan berat badan berlebihan dan mengekalkan bentuk badannya.

Dispenser makanan khas juga tersedia yang mengeluarkan bahagian makanan terkawal mengikut jadual, sekali gus mengelakkan makan berlebihan.

Senaman yang kerap boleh membantu kucing anda membakar beberapa kalori berlebihan dan kekal dalam bentuk badan ideal.

Obesiti dalam kucing juga boleh dirawat melalui ubat-ubatan, tetapi biasanya dianggap sebagai pilihan terakhir apabila kucing anda tidak dapat menurunkan berat badan melalui proses organik lain atau mula menunjukkan gejala kebimbangan kesihatan yang serius.

Selain itu, berjumpa dengan perunding doktor haiwan dilihat antara usaha anda mestikan kucing kesayangan mungkin perlu menerima rawatan perubatan segera atau memulakan sesi diet khas untuk membantu menurunkan berat badan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 7:00 AM