OBESITI dalam kalangan wanita boleh memberi kesan buruk ketika hamil.
OBESITI dalam kalangan wanita boleh memberi kesan buruk ketika hamil.
Hafiz Ithnin

SEKIRANYA anda sudah berkahwin dan mengalami kegemukan atau obesiti, jangan ambil mudah kerana ia boleh menyebabkan berlaku kegagalan untuk mengandung secara normal dan lebih menjadi mimpi ngeri berisiko mengalami keguguran.

Perkara itu yang dikongsikan pakar kesuburan, Dr Chooi Kar Yoke ketika mengulas mengenai isu kesuburan dalam kalangan wanita yang mengalami obesiti.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan obesiti sebagai satu keadaan yang kompleks apabila seseorang itu mempunyai lemak berlebihan sehingga menjejaskan kesihatan.

Malah, pakar itu turut menjelaskan tisu lemak yang berlebihan atau dikenali sebagai adipose menghalang telur yang matang dihasilkan untuk berlaku persenyawaan bagi wanita yang ingin hamil secara normal.

"Kajian turut menunjukkan bayi yang dilahirkan wanita obesiti mempunyai komposisi lemak pada tubuh si kecil iaitu komposisi lemak berlebihan di bahu bayi ketika bersalin secara normal melalui faraj, sekali gus ibu bakal mempunyai kadar kecederaan yang tinggi berbanding indeks jisim tubuh (BMI) wanita yang normal.

"Ibu hamil yang obesiti juga mempunyai kadar kelahiran menerusi pembedahan dan pelbagai komplikasi lain seperti kerosakan luka, darah beku di dalam saluran darah dan tumpah darah ketika bersalin," katanya.

GAYA hidup sihat antara langkah mencegah obesiti.
GAYA hidup sihat antara langkah mencegah obesiti.

Berdasarkan laporan Tackling Obesity in Asean Unit Perisikan Ekonomi yang meliputi Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam menunjukkan di negara kita, kelaziman obesiti adalah 13.3 peratus, manakala berat badan berlebihan berada pada 38.5 peratus dan kadar obesiti berbeza-beza bergantung kepada perbezaan etnik, genetik, serantau dan ekonomi.

BMI sama dengan atau lebih besar dari 25kg/m2 dianggap berat badan berlebihan dan jika BMI sama dengan atau lebih besar dari 30kg/m2 dianggap obesiti.

Dr Chooi berkata, wanita obesiti turut terdedah kepada risiko menghidapi penyakit seperti kencing manis ketika hamil, tekanan darah tinggi, praeklampsia dan eklampsia.

"Peluang untuk hamil secara normal juga adalah rendah berbanding wanita yang memiliki berat badan yang normal. Sekiranya wanita itu mendapatkan rawatan kesuburan untuk hamil menerusi kaedah bayi tabung uji atau in vitro fertilisation (IVF), dos ubat yang tinggi diperlukan berbanding wanita yang mempunyai berat badan normal.

"Ia juga menyebabkan kos perubatan meningkat kerana penggunaan lebih banyak ubat-ubatan yang diperlukan kerana pengagihan ubat kepada tubuh untuk mencapai tahap perubatan klinikal yang ideal," katanya.

Jelasnya, telur yang dikeluarkan juga tidak banyak dan kualiti telur juga kurang baik serta kejayaan untuk hamil wanita obesiti menerusi kaedah IVF juga merosot sebanyak 50 peratus berbanding wanita yang mempunyai berat badan normal.

"Penurunan berat badan sebanyak 10 peratus mempunyai kesan yang baik terhadap rawatan kesuburan kepada wanita dan pasangan obesiti sebelum memulakan rawatan kesuburan," katanya.

MENGAMALKAN makanan seimbang membantu menghidari berlakunya obesiti.
MENGAMALKAN makanan seimbang membantu menghidari berlakunya obesiti.

Pakar itu berkata, antara langkah awal kaedah dalam menurunkan berat badan adalah untuk meningkatkan aktiviti fizikal seperti senaman sekurang-kurangnya 150 minit seminggu atau 30 minit sehari selama lima kali dalam seminggu.

Jelasnya, amat disyorkan senaman intensiti yang sederhana kerana kesederhanaan adalah kunci kesihatan dan kesejahteraan kehidupan.

Sekiranya aktiviti senaman itu dilakukan secara bersama iaitu suami dan isteri, kesihatan dan motivasi turut meningkat kerana mempunyai sokongan daripada pasangan masing-masing.

"Turut disarankan untuk mengambil pemakanan yang sihat seperti anti-oksidan iaitu brokoli, tomato, beri, bayam, kekacang, anggur dan epal. Selain itu, radikal bebas seperti radiasi, asap rokok, asap kenderaan, pencemaran udara, bahan kimia industri dalam makanan dan minuman perlu dielakkan kerana boleh merosakkan sperma dan sel telur.

"Hindari daripada mengambil lemak tepu terbukti mengurangkan paras kolesterol baik dan meningkatkan paras kolesterol tidak baik seperti majerin, makanan yang sudah diproses, makanan segera dan sejuk beku," katanya.

PASANGAN suami dan isteri yang obesiti lebih sukar untuk mendapatkan zuriat.
PASANGAN suami dan isteri yang obesiti lebih sukar untuk mendapatkan zuriat.

Katanya, merokok dan minuman alkohol amat ditegah kerana memberi kesan kepada kesihatan secara keseluruhan. Kepada penggemar kopi, disarankan minum kurang dua cawan sehari kerana kandungan kafein mengurangkan kualiti sperma dan telur.

"Kepada pasangan berumur 35 tahun ke bawah yang berkahwin selama setahun atau berumur 35 ke atas dan berkahwin selama enam bulan, tetapi belum dikurniakan zuriat, segera dapatkan khidmat rundingan kesuburan dengan pakar supaya dapat meningkatkan kesuburan untuk membina keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 7:00 AM