BANYAK risiko boleh terjadi kepada wanita hamil yang mempunyai masalah BMI berlebihan.
BANYAK risiko boleh terjadi kepada wanita hamil yang mempunyai masalah BMI berlebihan.
Siti Nadirah Hafidzin


“TIDAK mengapa, saya sedang hamil memang biasalah gemuk dan ‘kembang’ macam ini”. Itu ayat yang biasa diluahkan wanita hamil apabila diajukan mengenai kenaikan berat badan yang mendadak.

Hakikatnya, sesetengah ibu hamil terlalu risau mengenai kenaikan berat badan namun ramai juga yang langsung tidak peduli apabila berat badan meningkat secara mendadak ketika hamil.

Kebanyakan wanita yang mempunyai berat badan berlebihan melalui proses kehamilan dan kelahiran tanpa sebarang masalah dan melahirkan bayi yang sihat.

Bagaimanapun, mungkin ramai tidak sedar mempunyai berat badan berlebihan ketika hamil boleh meningkatkan risiko dan komplikasi kepada ibu dan juga bayi dikandung.

Mengupas topik penjagaan berat badan dan risiko ketika hamil Perunding Fertiliti dan Sakit Puan Dr Salini Suhaila Nasir berkata, sesetengah ibu sememangnya mempunyai berat badan berlebihan walaupun sebelum hamil.

“Indeks Jisim Badan (BMI) akan dikira melalui berat dan ketinggian. Julat BMI yang sihat antara 18.5 hingga 25 dan ibu yang mempunyai BMI antara 25 hingga 29.9 dikategorikan sebagai lebih berat badan manakala 30 ke atas pula dikategorikan sebagai obes.

“BMI ini akan diambil pada awal tempoh kehamilan iaitu pada perjumpaan pertama antenatal. Jika BMI anda adalah 30 atau lebih, kakitangan kesihatan akan memberikan maklumat mengenai risiko yang bakal dihadapi ketika proses kehamilan dan langkah untuk meminimumkan risiko itu,” katanya.

Dr Salini Suhaila berkata, selain wanita yang dikategorikan sebagai obes, ibu yang mempunyai BMI melebihi 25 juga mempunyai risiko sama terutama apabila BMI meningkat sehingga 40.

DR Salini Suhaila FOTO Supian Ahmad
DR Salini Suhaila FOTO Supian Ahmad

“Antara risiko yang paling dibimbangkan adalah terjadinya darah beku di bahagian kaki atau ketulan darah beku di kaki ini bergerak mengikut aliran darah yang kemudian boleh menyumbatkan saluran darah ke paru-paru (embolisme pulmonari).

“Wanita hamil mempunyai risiko lebih tinggi mengalami masalah darah beku jika dibandingkan dengan wanita tidak hamil terutama kepada wanita yang mempunyai BMI lebih 30,” ujarnya.

Menurutnya, selain darah beku, wanita hamil yang mempunyai berat badan berlebihan berisiko tiga kali ganda untuk menghidap kencing manis ketika hamil.

“Segelintir wanita didapati mempunyai masalah kencing manis hanya ketika hamil dan memerlukan penjagaan kesihatan yang lebih bagi mengurangkan pelbagai risiko tidak diingini terutama saiz bayi yang besar.

“Untuk pengetahuan, saiz bayi yang dilahirkan juga bergantung kepada genetik dan saiz ibu dan bapa. Jika ibu mempunyai BMI tinggi, ia meningkat potensi untuk melahirkan bayi yang besar,” katanya.

Katanya, antara risiko lain adalah masalah tekanan darah tinggi dan mempunyai protein di dalam air kencing.

Risiko kepada bayi

Dr Salini Suhaila berkata, sekiranya si ibu memiliki BMI melebihi 30 sebelum kehamilan atau pada peringkat awal kehamilan, ia boleh mengganggu perkembangan awal bayi ketika di dalam rahim.

“Kecacatan pada bahagian otak dan tulang belakang bayi boleh berlaku namun risikonya agak rendah iaitu satu daripada 1,000 kelahiran.

“Namun, sekiranya si ibu mempunyai BMI lebih 40, risiko itu akan meningkat tiga kali ganda,” katanya.

Menurutnya, selain itu, risiko keguguran bawah 12 minggu juga boleh terjadi kepada ibu yang mempunyai BMI berlebihan dan turut berisiko mempunyai berat bayi yang besar iaitu melebihi empat kilogram (KG).

“Si ibu juga perlu mengetahui, anda juga berdepan risiko bayi mati di dalam kandungan selain bayi juga berpotensi mengalami masalah obesiti dan kencing manis selepas dilahirkan.

“Semua yang dinyatakan ini bukan untuk menakutkan namun ia perlu diketahui oleh setiap wanita hamil bagi memastikan mereka sentiasa menjaga pemakanan dan rutin harian,” ujarnya.

Menyentuh mengenai proses kelahiran, Dr Salini Suhaila berkata, ibu yang memiliki BMI berlebihan juga berisiko untuk melahirkan bayi pramatang iaitu sebelum kandungan berusia 37 minggu.

“Selain itu, proses kelahiran juga berkemungkinan mengambil masa yang panjang, bahu bayi boleh tersangkut ketika proses kelahiran, melalui kelahiran secara pembedahan kecemasan dan tumpah darah selepas bersalin.

“Semua risiko kelahiran ini sangat membimbangkan kerana ia boleh menyebabkan pelbagai komplikasi lain kepada si ibu dan kepada bayi,” katanya.

AMALKAN pemakanan dan gaya hidup sihat ketika hamil.
AMALKAN pemakanan dan gaya hidup sihat ketika hamil.

Cari gaya hidup ideal

Dr Salini Suhaila berkongsi langkah yang perlu dilakukan oleh ibu yang mempunyai BMI berlebihan ketika hamil antaranya:

• Berbincang bersama kakitangan kesihatan mengenai langkah yang boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko kehamilan dan kelahiran.

• Sentiasa mengamalkan pemakanan sihat, jangan sesekali makan mengikut nafsu terutama kepada ibu yang dikategorikan sebagai obesiti.

Selain itu, anda perlu:

• Pastikan makanan anda mempunyai karbohidrat seperti kentang, roti, nasi dan pasta.

• Jaga kuantiti makanan dan snek dan berapa kerap anda makan. Jangan makan untuk ‘dua orang’.

• Makan makanan yang mengandungi serat yang tinggi seperti bijirin, kekacang, buah-buahan, sayur sayuran, beras perang dan pasta.

• Makan sekurang-kurangnya lima hidangan yang mengandungi pelbagai buah-buahan, sayur-sayuran setiap hari, menggantikan makanan yang kaya dengan lemak dan kalori.

• Jangan tinggalkan sarapan pada waktu pagi. Sebaiknya ia diambil dalam tempoh dua jam selepas bangun tidur.

Secara keseluruhannya, anda tidak memerlukan kalori tambahan untuk peringkat kehamilan awal. Anda hanya perlu tambahan 200 kalori setiap hari pada peringkat terakhir kehamilan.

• Percubaan untuk mengurangkan berat badan ketika hamil tidak digalakkan sungguhpun anda berada dalam keadaan obes kerana ia boleh membahayakan ibu dan bayi dalam kandungan. Bagaimanapun, dengan mengamalkan pemakanan yang sihat dan mengubah gaya hidup, anda mungkin tidak mengalami penambahan berat badan yang banyak ketika hamil, malah anda mungkin hilang sedikit berat badan namun cara ini tidak berbahaya.

• Bersenam ketika hamil. Perlu mempunyai gaya hidup aktif ketika hamil kerana ia bermanfaat kepada ibu dan bayi. Aktiviti seperti berjalan, berbasikal, berkebun dan berenang boleh dilakukan.

• Kurangkan aktiviti ‘bermalasan’ seperti duduk dalam tempoh jangka masa yang lama sambil menonton televisyen ataupun melayan Facebook di telefon pintar atau komputer riba.

• Gaya hidup aktif tidak berbahaya kepada anda dan juga bayi. Namun, jika anda tidak biasa bersenam, perlu mulakan senaman secara perlahan-lahan, sebaiknya tidak lebih dari 15 minit senaman berterusan dan tiga kali seminggu. Kemudian barulah anda tingkatkan masanya kepada 30 minit setiap sesi pada setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 3:55 PM