Tikus belanda tidak berbulu dapat bergaul bersama kucing belaan, tunjuk manja bila dibelai
Tikus belanda tidak berbulu dapat bergaul bersama kucing belaan, tunjuk manja bila dibelai
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

RAMAI salah faham dan menganggap 'guinea pig' sebagai khinzir disebabkan nama saintifik haiwan itu ada perkataan 'pig.'

Ini ditambah pula keadaan kulitnya berwarna merah jambu muda dan tidak mempunyai bulu, seakan-akan menyamai haiwan berkenaan.

Hirzi Asyral Abd Malek, 28, berkata, 'guinea pig' sebenarnya adalah tikus Belanda daripada spesies tidak berbulu.

Menurutnya, dia sering menerima pertanyaan itu setiap kali membuat 'live' di TikTok untuk menjual barangan kucing dan tikus Belanda.

"Saya menjual barangan ini sambil memegang tikus Belanda. Walaupun sudah memberikan penjelasan, tetapi masih ada yang tidak faham dan mempertikaikan kesucian haiwan berkenaan.

"Malah saya mula memelihara haiwan itu sejak penghujung tahun 2021 dengan membeli secara dalam talian daripada penjual dari Thailand.

BERSAMA tikus Belanda dan kucing tanpa bulu.
BERSAMA tikus Belanda dan kucing tanpa bulu.

"Mula-mula saya beli tikus Belanda betina berharga hampir RM600 dan kemudiannya membeli pula tikus Belanda jantan dengan RM450.

"Seterusnya saya membiakkan haiwan ini sehingga menjadi 20 ekor, tetapi 13 ekor sudah dijual kepada pembeli," katanya.

Katanya, kini dia hanya mempunyai tujuh tikus Belanda induk yang akan dibiakkan semula.

"Ciri-ciri fizikal tikus Belanda ialah panjangnya antara 15 hingga 16 sentimeter (cm), berat antara 450 hingga 900 gram dan jangka hayat antara lima hingga tujuh tahun.

Hirzi Asyral berkata, dia mula berjinak memelihara tikus Belanda selepas melihat satu video dari luar negara dan terpikat dengan kecomelan haiwan berkenaan.

"Video berkenaan turut memaparkan kucing tanpa bulu boleh bermain bersama tikus Belanda.

"Ini menguatkan keinginan saya untuk memelihara tikus Belanda, memandangkan ibu bapa turut membela kucing tanpa bulu.

"Jadi tidak ada sebarang masalah sekiranya kedua-dua haiwan ini bergaul bersama di rumah kami," katanya.

BENCANA cuaca menyebabkan ramai kanak-kanak kehilangan tempat tinggal.
BENCANA cuaca menyebabkan ramai kanak-kanak kehilangan tempat tinggal.

Menurutnya, tikus Belanda adalah haiwan yang manja dan suka melentukkan badannya apabila dibelai.

"Menariknya tikus Belanda adalah haiwan yang kuat makan sentiasa menghabiskan makanan yang diberikan.

"Kemudian ia akan mengeluarkan bunyi 'wink, wink' untuk meminta makanan tambahan," katanya.

Hirzi Asyral berkata, makanan kegemaran tikus Belanda ialah lobak, manakala makanan utamanya adalah palet dan buah-buahan seperti tembikai, anggur serta strawberi

"Saya yakin haiwan ini tidak mendatangkan risiko bahaya kepada kesihatan manusia kerana makan makanan yang elok.

"Pada masa sama saya berasa seronok melihat gelagat tikus Belanda kerana haiwan ini pandai bersosial dengan kucing ketika waktu makan," katanya.

Katanya lagi, setiap bulan dia membelanjakan kira-kira RM500 untuk haiwan ini merangkumi makanan, kelengkapan tambahan dan rawatan.

HIRZI Asyral memandikan tikus Belanda.
HIRZI Asyral memandikan tikus Belanda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 7:00 AM