SEBUAH pasar raya di Klimovsk, di luar Moscow. FOTO EPA
SEBUAH pasar raya di Klimovsk, di luar Moscow. FOTO EPA
AFP

Moscow: Rusia menggesa penduduknya supaya tidak melakukan pembelian panik bagi makanan ruji berikutan keputusan Presiden Vladimir Putin menghantar tentera ke Ukraine.

Tindak balas diselaraskan Washington dan Brussels terhadap konflik Ukraine menjadikan Rusia negara yang paling disekat di dunia, menyebabkan kejatuhan nilai matawang Ruble dan inflasi yang semakin meningkat.

Sekatan Barat yang belum pernah berlaku sebelum ini mencetuskan suasana sibuk di pasar raya, dengan pelanggan membeli secara pukal barangan keperluan jangka panjang seperti gandum kuda, bijirin panggang popular.

"Saya mahu menenangkan rakyat, kita berdikari sepenuhnya dalam soal gula dan gandum kuda.

"Tidak perlu panik membeli barangan ini. Ia cukup untuk semua orang. Pembelian panik hanya menjejaskan kestabilan rangkaian pengedaran," kata Timbalan Perdana Menteri Viktoria Abramchenko dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen.

Imej rak kosong dan warga Rusia beratur panjang untuk membeli gula tersebar di media sosial sejak beberapa hari ini.

Abramchenko berkata bahawa Rusia tahun ini merancang untuk menghasilkan lebih banyak gula dan gandum kuda.

"Ini bermakna penuaian baru akan memastikan adanya gula dan gandum kuda di rak kedai, dan pembuat gula dan pembuat roti Rusia akan menerima jumlah gula yang diperlukan," kata Abramchenko.

Katanya, tiada kekurangan makanan di negara itu sambil menambah bahawa pihak berkuasa akan meningkatkan import bekalan dari 'negara mesra Rusia'.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 10:18 AM