Orang ramai membeli barangan keperluan harian di pasaraya AEON Queensbay Store, Bayan Lepas. FOTO MIKAIL ONG
Orang ramai membeli barangan keperluan harian di pasaraya AEON Queensbay Store, Bayan Lepas. FOTO MIKAIL ONG
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Bukan pembelian panik sebaliknya ia membabitkan peningkatan pelanggan yang keluar membeli barangan keperluan tambahan pada hujung minggu.

Penjelasan itu dibuat susulan gambar tular yang menunjukkan orang ramai berbaris panjang ketika masuk ke sebuah pasar raya di negeri ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pengunjung perlu berbaris panjang kerana perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, pengguna tidak perlu melakukan pembelian panik berikutan arahan sekatan pergerakan penuh berkuatkuasa 1 Jun ini.

"Tidak perlu bimbang kerana bekalan barangan di negeri ini mencukupi. Masyarakat disaran merancang pembelian sekiranya mahu membeli bekalan di pasar raya.

"Pengguna tidak perlu membuat pembelian secara pukal kerana bekalan barangan asas seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, telur, roti putih dan ayam juga sentiasa mencukupi," katanya ketika membuat tinjauan di pusat beli belah Queensbay di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Ridzuan berkata, beberapa langkah akan diambil sebagai persediaan sekiranya berlaku situasi pembelian panik.

Antaranya, meningkatkan pemantauan selain meminta pihak pasar raya membuat kawalan kendiri seperti menghadkan jumlah pembelian barangan.

"Pengusaha pasar raya dinasihati membuat kawalan kendiri dan mengehadkan pembelian sekiranya berlaku pembelian mendadak.

"Jangan bimbang kerana sepanjang tempoh sekatan ini, pasar raya masih lagi dibuka malah pengguna juga boleh mendapat bekalan barangan di kedai runcit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 7:25 PM