GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rosliza Mohamed


TINDAKAN tiga lelaki yang melarikan diri selepas melihat polis membongkar rahsia mereka memiliki 61 pil kuda di Kota Bharu, kelmarin.

Pada kejadian 7.30 malam itu, suspek berjaya ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Seterpa , Binjai

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, ketika serbuan, semua suspek sedang berkumpul di atas lantai ruang tamu rumah berkenaan.

Katanya, dalam usaha menangkap suspek, berlaku pergelutan antara polis dan individu berkenaan.

"Bagaimanapun, polis berjaya memberkas mereka. Pemeriksaan pada poket seluar yang dipakai seorang suspek berusia 38 tahun menjumpai satu beg kecil mengandungi 60 biji pil kuda.

"Pemeriksaan seterusnya di ruang tamu rumah berkenaan menemui satu biji lagi pil kuda.

"Semua suspek dan 61 pil kuda dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, polis percaya bahawa dadah berkenaan adalah untuk kegunaan sendiri.

Katanya, ujian saringan terhadap tiga lelaki yang bekerja sebagai buruh dan penjual kereta mendapati mereka positif dadah.

"Semua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 10:15 AM