MUHAMMAD Izhar memiliki peranan penting dalam melatih kuda untuk perlumbaan.
MUHAMMAD Izhar memiliki peranan penting dalam melatih kuda untuk perlumbaan.
Nurul Husna Mahmud


Bekerja dalam bidang yang digemari antara bonus buat pencinta haiwan. Hal itu dialami sendiri Muhammad Izhar Hamzah apabila menjadi pelatih kuda secara profesional sejak 2015.

Kata pelatih kuda bagi pasukan Khalifah Arabian Endurance Team (KAET) itu, dia mula menunggang kuda sejak berusia 18 tahun apabila ditawar oleh seorang pemilik kuda di Kota Bharu, Kelantan.

"Di Kelantan memang ramai bela kuda sebagai haiwan peliharaan terutama baka kuda padi yang lebih lasak dan sesuai dengan persekitaran kampung.

"Pemilik kuda saya kenal ada pelihara baka kuda padi dan kuda perlumbaan.

"Dia lihat saya selalu 'bertenggek' dekat kandang kuda lalu dia pelawa untuk tengok cara jaga kuda sehinggalah peluang menunggang.

"Bukan mudah orang kampung macam saya ada peluang menunggang kuda kerana pelihara kuda itu sendiri menelan kos tinggi.

"Atas kebaikan dia juga, saya dapat menyertai pertandingan kuda lasak (endurance) di Lembah Bidong, Kuala Terengganu, Terengganu sekitar 2014," katanya.

Berkongsi pengalaman menunggang dan melatih kuda, kata Muhammad Izhar banyak beza antara aktiviti rekreasi dan perlumbaan.

"Kuda padi adalah kuda kampung atau orang tunggang untuk riadah. Tetapi, kuda perlumbaan berbeza kerana setiap disiplin sukan memerlukan baka kuda berlainan.

"Malah, kuda yang dilatih untuk sukan kuda lasak seperti yang saya latih adalah daripada 'Arabian horse' atau baka kuda Arab yang lebih lasak untuk perlumbaan jarak jauh dan tahan panas.

"Haiwan ini suka lari jauh, tetapi sensitif dengan perubahan sekeliling. Perlu tahu benda boleh mengejutkan kuda.

"Lain kuda, lain kerenahnya dan perlu tahu kendali apabila ia menunjukkan tanda marah serta tidak selesa," katanya.

Perubahan boleh dilihat pada kuda yang 'moody' atau berisiko dikendalikan terutama untuk penunggang baru adalah menerusi gerak tubuh.

"Kuda menunjukkan rasa tidak selesa atau marah apabila telinga menegak ke belakang dan mula menggigit. Paling teruk apabila ia menendang dan menjatuhkan penunggang," katanya.

Pelatih kuda perlu bersedia untuk kawal dan memastikan keselamatan penunggang supaya tidak berlaku kecederaan.

"Sudah namanya menunggang, seperti belajar motosikal ada pengalaman jatuh dan luka sebelum pandai, begitu juga menunggang kuda.

"Dalam sukan ini sendiri memang satu kebiasaan penunggang baru belajar merasai pengalaman jatuh kuda.

"Kuda dilatih dan haiwan itu tahu untuk tidak terpijak atau mencederakan penunggang kerana sudah profesional. Penunggang boleh elak kecederaan dengan mengenakan pakaian sesuai seperti topi keselamatan dan kasut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 7:00 AM